Sifat Orang Munafik
Surah 11: Hud (5)
Ayat 5
أَلَآ إِنَّهُمْ يَثْنُونَ صُدُورَهُمْ لِيَسْتَخْفُوا۟ مِنْهُ ۚ أَلَا حِينَ يَسْتَغْشُونَ ثِيَابَهُمْ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Allah Swt mengingatkan dan menuntut perhatian manusia untuk mengambil pelajaran daripada sifat orang-orang yang menolak kebenaran.
Jika orang-orang munafik mendengar dakwah kepada Allah Ta’ala, mereka memalingkan dada mereka daripada Rasulullah saw untuk bersembunyi dari Baginda dan berharap tiada sesiapa melihat mereka.
Ini berlaku ketika orang-orang munafik itu menyelimutkan diri mereka dan menutup kepala mereka dengan kain, agar mereka dapat bersembunyi daripada Baginda ataupun Allah Ta’ala. Mereka menyangka Allah Swt tidak dapat melihat, padahal Dia Maha Mengetahui apa yang disembunyikan dalam hati mereka dan apa yang diucapkan oleh mulut mereka. Dia juga Maha Mengetahui apa yang disembunyikan pada malam hari dan apa yang diperlihatkan pada siang hari.