Surah 11: Hud (25 – 49)

Kisah Nabi Nuh as dan Bahteranya

Surah 11: Hud (25 – 49)


Ayat 25

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦٓ إِنِّى لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu dia memberitahu kaumnya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu.

Ayat 26

أَن لَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ أَلِيمٍ

“Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.

Dalam ayat 25 dan 26 ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Nuh as adalah rasul pertama yang diutuskan kepada penduduk bumi yang menyekutukan Allah Swt dengan menyembah berhala. Baginda diutuskan sebagai pemberi peringatan tentang azab yang pedih di akhirat nanti sekiranya mereka melakukan syirik terhadap Allah Swt.

Ayat 27

فَقَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ مَا نَرَىٰكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَىٰكَ ٱتَّبَعَكَ إِلَّا ٱلَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِىَ ٱلرَّأْىِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍۭ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَـٰذِبِينَ

Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.

Allah Swt menyebutkan beberapa alasan kaum Nabi Nuh as menolak dakwahnya:

▪️  Para pemimpin dan pembesar melihat Nabi Nuh as hanyalah sebagai manusia biasa yang sama sahaja dengan mereka, tiada kelebihan pada Baginda yang membuat mereka mesti taat kepadanya.

▪️  Mereka juga melihat pengikut Nabi Nuh as adalah terdiri daripada orang-orang yang hina, para pekerja kasar seperti petani dan buruh yang tidak mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat serta merupakan kaum yang lemah dan miskin.

▪️  Mereka tidak melihat Nabi Nuh as dan pengikut-pengikutnya mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan atau kekayaan yang dapat dibanggakan yang mendorong mereka untuk mengikuti seruannya.

▪️  Mereka yakin bahawa pengakuan Nabi Nuh as sebagai utusan Allah Ta’ala adalah semata-mata dusta.

Ayat 28

قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَءَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّى وَءَاتَىٰنِى رَحْمَةً مِّنْ عِندِهِۦ فَعُمِّيَتْ عَلَيْكُمْ أَنُلْزِمُكُمُوهَا وَأَنتُمْ لَهَا كَـٰرِهُونَ

Nabi Nuh berkata: “Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Dia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisi-Nya, kemudian bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?

Kebencian dan keingkaran terhadap ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh as menjadi penghalang kepada mereka untuk tunduk kepada kebenaran. Oleh itu, mereka tidak akan dipaksa untuk beriman sekiranya mereka masih tidak mahu menerimanya.

Ayat 29

وَيَـٰقَوْمِ لَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَمَآ أَنَا۠ بِطَارِدِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ۚ إِنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ رَبِّهِمْ وَلَـٰكِنِّىٓ أَرَىٰكُمْ قَوْمًا تَجْهَلُونَ

Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.

Nabi Nuh as mengatakan kepada kaumnya bahawa Baginda tidak meminta upah sedikit pun daripada mereka agar mereka beriman terhadap seruannya yang mengajak mengesakan Allah Swt dan beribadah hanya kepada-Nya dengan ikhlas. Baginda hanyalah semata-mata mengharapkan ganjaran daripada-Nya.

Seterusnya Nabi Nuh as menjawab permintaan para pembesar atau kaumnya yang meminta Baginda menghalau orang-orang beriman yang dipandang hina dalam masyarakat. Ini kerana mereka tidak mahu orang-orang beriman ada bersama-sama mereka kerana mereka berasa jijik.

Oleh itu, Nabi Nuh as mengatakan bahawa Baginda sekali-kali tidak akan mengusir orang-orang yang beriman. Ini kerana sesungguhnya mereka akan bertemu dengan Rabb mereka pada Hari Kiamat kelak dan Baginda menyatakan bahawa Baginda melihat mereka yang kufur itu adalah kaum yang tidak mengetahui.

Hal seperti ini juga berlaku kepada para pembesar orang-orang kafir Quraisy yang meletakkan status keistimewaan buat diri mereka sendiri. Mereka tidak mahu bertemu dan bergaul dengan orang-orang beriman yang lemah dan fakir miskin. Mereka bersikap menyombongkan diri kerana menganggap diri mereka lebih mulia. Mereka juga meminta Rasulullah saw mengusir orang-orang beriman. Lalu Allah Swt berfirman:

“Dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Rabb mereka pada pagi dan petang hari, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya. Kamu tidak memikul tanggungjawab sedikitpun terhadap perbuatan mereka dan mereka pun tidak memikul tanggungjawab sedikitpun terhadap perbuatanmu, yang menyebabkan kamu (berhak) mengusir mereka, (sehingga kamu termasuk orang-orang yang zalim).”

Al-An’am 6:52

Nabi Nuh as juga memberitahu kaumnya bahawa Baginda adalah seorang utusan Allah Swt untuk mengajak mereka beriman dan beribadah hanya kepada-Nya. Risalah yang dibawa oleh Baginda adalah untuk semua golongan sama ada yang kaya ataupun miskin.

Sesungguhnya kemuliaan antara satu dengan yang lainnya adalah dengan amal soleh dan berakhlak mulia dan bukan dengan kekayaan dan harta benda serta kedudukan seperti yang disangkakan oleh orang-orang kafir.

Ayat 30

وَيَـٰقَوْمِ مَن يَنصُرُنِى مِنَ ٱللَّهِ إِن طَرَدتُّهُمْ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Dan lagi wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?

Seterusnya Nabi Nuh as menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang dapat menghalang seksaan Allah Ta’ala yang akan menimpanya jika Baginda mengusir orang-orang yang telah beriman itu. Ini kerana perbuatan mengusir itu merupakan suatu kezaliman yang layak mendapat seksaan yang berat.

Apakah mereka masih tidak menyedari dan mengambil pelajaran? Orang-orang beriman mempunyai Rabb yang pasti akan menolong mereka, dan yang mengusir mereka pasti akan binasa.

Ayat 31

وَلَآ أَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ ٱللَّهِ وَلَآ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ وَلَآ أَقُولُ إِنِّى مَلَكٌ وَلَآ أَقُولُ لِلَّذِينَ تَزْدَرِىٓ أَعْيُنُكُمْ لَن يُؤْتِيَهُمُ ٱللَّهُ خَيْرًا ۖ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا فِىٓ أَنفُسِهِمْ ۖ إِنِّىٓ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu, “Di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

Nabi Nuh as mengemukakan empat perkara berupa penafian:

1.   Baginda tidak mengatakan bahawa Baginda memiliki perbendaharaan atau gudang rezeki tempat penyimpanan bekalan untuk memenuhi segala keperluan Baginda dan pengikut-pengikutnya.

2.   Baginda tidak mengetahui perkara yang ghaib, kecuali apa yang Allah Swt perlihatkan kepadanya.

3.   Baginda bukanlah daripada kalangan malaikat tetapi hanya manusia biasa yang diangkat sebagai Rasul dengan dianugerahkan beberapa mukjizat.

4.   Baginda tidak mengatakan bahawa pengikut-pengikutnya yang beriman yang dipandang hina oleh pembesar kaumnya tidak akan diberikan kebaikan oleh Allah Swt. Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati orang-orang-orang beriman itu sama ada baik ataupun buruk.

Sekiranya Baginda mengatakan sedemikian maka Baginda termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.

Ayat 32

قَالُوا۟ يَـٰنُوحُ قَدْ جَـٰدَلْتَنَا فَأَكْثَرْتَ جِدَٰلَنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Mereka berkata: “Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

Apabila orang-orang kafir mendapati Nabi Nuh as tidak juga berhenti dan tidak berputus asa daripada berdakwah, malahan tidak mahu mengikut kehendak mereka, maka mereka meminta Baginda mendatangkan azab sekiranya Baginda adalah orang yang benar.

Alangkah jahil dan sesatnya mereka, kerana berkata-kata seperti ini kepada seorang Nabi yang begitu jujur dan ikhlas dalam menyampaikan risalah! Sepatutnya mereka mensyukuri segala nasihat dan seruan, bukan mendustakan risalah yang dibawa dan bersikap biadab terhadap Baginda. Oleh sebab mereka tidak dapat membantah kebenaran yang dibawa, mereka sebaliknya mencabar Baginda agar disegerakan azab.

Ayat 33

قَالَ إِنَّمَا يَأْتِيكُم بِهِ ٱللَّهُ إِن شَآءَ وَمَآ أَنتُم بِمُعْجِزِينَ

Nabi Nuh menjawab: “Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azab-Nya itu kepada kamu jika Ia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa Allah!

Lalu Nabi Nuh as mengatakan bahawa sesungguhnya yang paling layak menyeksa mereka dan menyegerakan seksaan tersebut hanyalah Allah Swt. Apabila Dia menghendaki perkara itu berlaku, mereka pasti tidak akan mampu untuk mengelaknya.

Ayat 34

وَلَا يَنفَعُكُمْ نُصْحِىٓ إِنْ أَرَدتُّ أَنْ أَنصَحَ لَكُمْ إِن كَانَ ٱللَّهُ يُرِيدُ أَن يُغْوِيَكُمْ ۚ هُوَ رَبُّكُمْ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia-lah Tuhan kamu dan kepada-Nya kamu akan kembali”.

Nabi Nuh as mengatakan bahawa usaha Baginda menasihati kaumnya yang kafir agar beriman tidaklah berguna sekiranya Allah Ta’ala berkehendak menyesatkan mereka.

Allah Swt adalah Penguasa yang mengendalikan segala urusan. Dia-lah hakim yang adil dan tidak pernah berlaku zalim kepada makhluk-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan Dia Yang Maha Pencipta dan semuanya akan kembali kepada-Nya.

Allah Ta’ala akan memberikan balasan kepada hamba-hamba-Nya setimpal dengan segala usaha dan perbuatan mereka sama ada kebaikan atau keburukan kerana selalunya hasil bergantung kepada pekerjaan.

Ayat 35

أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۖ قُلْ إِنِ ٱفْتَرَيْتُهُۥ فَعَلَىَّ إِجْرَامِى وَأَنَا۠ بَرِىٓءٌ مِّمَّا تُجْرِمُونَ

(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: “Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku”.

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Allah Swt menyelitkan kata-kata yang diungkapkan oleh orang-orang musyrik Mekah di tengah-tengah kisah Nabi Nuh as dan kaumnya. Orang-orang musyrik ini menuduh Nabi Muhammad saw mereka-reka kisah Nabi Nuh as.

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw supaya menegaskan bahawa bukanlah Baginda mereka-reka kisah tersebut. Ini kerana Baginda lebih mengetahui tentang seksaan Allah Swt jika Baginda mendustakan-Nya.

Ayat 36

وَأُوحِىَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُۥ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ ءَامَنَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Allah Swt mewahyukan Nabi Nuh as menyatakan bahawa tidak ada lagi daripada kaumnya yang akan beriman dengan dakwah dan seruannya kecuali mereka yang telah beriman sebelum itu. Oleh itu, Baginda tidak perlu bersedih atas sikap mereka dan jangan pula hal itu merisaukan Baginda. Maka Baginda berdoa. Firman-Nya:

“Wahai Rabbku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.”

Nuh 71:26-27

Ayat 37

وَٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلَا تُخَـٰطِبْنِى فِى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ ۚ إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ

Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepada-Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

Kemudian Allah Swt mengarahkan Nabi Nuh as membuat bahtera atau kapal melalui wahyu-Nya. Ini adalah untuk menyelamatkan dirinya dan pengikutnya dengan perlindungan dan pertolongan-Nya.

Nabi Nuh as dilarang daripada berbicara kepada Allah Ta’ala atau memohon dan berdoa kepada-Nya tentang kaumnya agar dibatalkan azab atas mereka. Sesungguhnya telah wajib atas mereka azab dan telah ditetapkan kepada mereka untuk ditenggelamkan.

Ayat 38

وَيَصْنَعُ ٱلْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلَأٌ مِّن قَوْمِهِۦ سَخِرُوا۟ مِنْهُ ۚ قَالَ إِن تَسْخَرُوا۟ مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ

Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: “Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.

Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Nuh as mulai membuat kapal. Setiap kali para pemimpin kaumnya berjalan melintasi tempatnya, mereka mengejeknya dan mereka pun mendustakan apa yang telah diancamkan kepada mereka iaitu mereka akan ditenggelamkan.

Nabi Nuh as mengatakan kepada kaumnya yang kafir itu sekiranya mereka mengejek apa yang sedang Baginda bina yang dalam pandangan mereka tidak berguna sama sekali, kelak Baginda dan pengikut-pengikutnya yang beriman pula akan mengejek mereka saat mereka ditenggelamkan nanti.

Ayat 39

فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌ مُّقِيمٌ

Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak.

Ini merupakan ancaman yang keras dan janji yang benar daripada Allah Swt. Mereka akan mendapat azab yang menghinakan di dunia dan diazab terus menerus dan selama-lamanya di akhirat.

Ayat 40

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَمْرُنَا وَفَارَ ٱلتَّنُّورُ قُلْنَا ٱحْمِلْ فِيهَا مِن كُلٍّۢ زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيْهِ ٱلْقَوْلُ وَمَنْ ءَامَنَ ۚ وَمَآ ءَامَنَ مَعَهُۥٓ إِلَّا قَلِيلٌ

(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman”. Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan, ini adalah janji Allah Swt kepada Nabi Nuh as iaitu ketika datang perintah-Nya, hujan turun tidak berhenti-henti dan sumber air tidak surut sebagaimana firman-Nya:

“Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan (menurunkan) hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan.”

Al-Qamar 54:11-12

Ketika ada tanda-tanda hampirnya waktu mereka akan ditenggelamkan iaitu hujan turun tidak berhenti-henti, Allah Swt memerintahkan Nabi Nuh as membawa ahli keluarganya dan kaumnya yang beriman serta sepasang daripada setiap jenis haiwan ke atas bahtera yang telah siap dibinanya.

Maksud “ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya),” dalam ayat di atas ialah ahli-ahli keluarga serta kerabat Nabi Nuh as kecuali yang tidak mahu beriman dan telah pun ada ketetapan untuk dibinasakan.

Ayat 41

وَقَالَ ٱرْكَبُوا۟ فِيهَا بِسْمِ ٱللَّهِ مَجْر۪ىٰهَا وَمُرْسَىٰهَآ ۚ إِنَّ رَبِّى لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya’. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Nabi Nuh as menyuruh orang-orang yang menaiki bahtera supaya menyebut nama Allah Swt semasa memulakan perjalanan di atas permukaan air dan semasa berlabuh. Ini menunjukkan sunnah membaca basmalah apabila memulakan sesuatu pekerjaan. Dalam surah yang lain Allah Swt berfirman:

“Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu, maka ucapkanlah, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim.’ Dan berdoalah, ‘Wahai Rabbku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat.’”

Al-Mukminun 23:28-29

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Dia mengampuni dosa hamba-hamba-Nya dan Dia Maha Penyayang terhadap mereka. Kalaulah tidak kerana keampunan-Nya terhadap dosa-dosa mereka dan bukan kerana rahmat-Nya, tentu Dia tidak akan menyelamatkan mereka daripada banjir yang besar dan badai taufan yang sangat dahsyat.

Ayat 42

وَهِىَ تَجْرِى بِهِمْ فِى مَوْجٍ كَٱلْجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ٱبْنَهُۥ وَكَانَ فِى مَعْزِلٍ يَـٰبُنَىَّ ٱرْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

Bahtera itu membawa mereka atas permukaan air yang menggunung tingginya disertai pula dengan gelombang yang besar, namun Allah Swt memelihara bahtera Nabi Nuh as dan penumpangnya. Firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) Kami bawa (nenek moyang) kamu, ke dalam bahtera, agar Kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.”

Al-Haqqah 69:11-12

Namun ketika itu, Nabi Nuh as diselimuti perasaan kasihan dan kecintaan seorang bapa kepada anaknya. Baginda memanggil anaknya yang tidak mahu beriman supaya sama-sama menaiki bahtera yang dibina olehnya agar anaknya itu tidak tenggelam sebagaimana orang-orang kafir yang lain yang ditenggelamkan.

Ayat 43

قَالَ سَـَٔاوِىٓ إِلَىٰ جَبَلٍ يَعْصِمُنِى مِنَ ٱلْمَآءِ ۚ قَالَ لَا عَاصِمَ ٱلْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ إِلَّا مَن رَّحِمَ ۚ وَحَالَ بَيْنَهُمَا ٱلْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ ٱلْمُغْرَقِينَ

Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

Kemudian anak Nabi Nuh as yang derhaka itu menjawab bahawa dia akan mencari perlindungan dan pergi ke sebuah gunung yang dapat menjaganya daripada tenggelam. Dia menyangka bahawa air itu adalah banjir biasa yang memungkinkannya menyelamatkan diri dengan pergi ke tempat-tempat yang tinggi atau ke gunung yang tinggi.

Lalu Nabi Nuh as menjawab bahawa pada hari itu tiada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan daripada azab Allah Ta’ala dan Dia sedang menyeksa orang-orang yang kafir namun Allah Swt yang Maha Penyayang akan menjaga dan membela nasib orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang yang dikasihi-Nya.

Kemudian air itu terus meninggi, menjadi penghalang antara Nabi Nuh as dan anaknya, dan anaknya itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan dan dibinasakan.

Ayat 44

وَقِيلَ يَـٰٓأَرْضُ ٱبْلَعِى مَآءَكِ وَيَـٰسَمَآءُ أَقْلِعِى وَغِيضَ ٱلْمَآءُ وَقُضِىَ ٱلْأَمْرُ وَٱسْتَوَتْ عَلَى ٱلْجُودِىِّ ۖ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”.

Sungguh dahsyat pemandangan yang sangat menakutkan ini, air dengan sangat deras turun mencurah dari langit, manakala bumi pula memancarkan air tanpa henti menyebabkan air meninggi hingga mencapai puncak-puncak gunung dan menggenangi semua permukaan bumi.

Ketika seluruh penduduk bumi ditenggelamkan kecuali orang-orang yang berada di atas kapal, Allah Ta’ala memerintahkan bumi supaya menelan semua air di atasnya dan Dia juga memerintahkan langit berhenti daripada menurunkan hujan, lalu air pun menjadi surut.

Allah Ta’ala telah memenuhi janji-Nya kepada Nabi Nuh as dengan membinasakan kaumnya yang zalim dan kufur. Rugilah orang-orang yang zalim dan kufur, mereka jauh daripada rahmat-Nya. Sesungguhnya mereka telah dibinasakan semuanya dan tidak ada yang tersisa kerana kezaliman dan kekufuran mereka. Kemudian kapal itu berhenti di Gunung Judiy yang terletak di Semenanjung Arab.

Ayat 45

وَنَادَىٰ نُوحٌ رَّبَّهُۥ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ٱبْنِى مِنْ أَهْلِى وَإِنَّ وَعْدَكَ ٱلْحَقُّ وَأَنتَ أَحْكَمُ ٱلْحَـٰكِمِينَ

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”.

Perasaan kasih sayang Nabi Nuh as muncul kembali terhadap anaknya yang tenggelam dalam banjir.  Oleh itu timbul perasaan ingin tahu bagaimana anaknya itu boleh tenggelam sedangkan Allah Swt telah berjanji kepadanya bahawa Dia akan menyelamatkan ahli keluarganya dan janji-Nya adalah benar dan tidak dimungkiri.

Seterusnya Nabi Nuh as menyatakan lagi bahawa Allah Swt adalam hakim seadil-adilnya dan Maha Adil dalam kebenaran yang sempurna, Dia memutuskan satu kaum untuk diselamatkan dan terhadap kaum yang lain Dia tenggelamkan.

Jawapan Allah Ta’ala terhadap pertanyaaan Nabi Nuh as ini terdapat dalam ayat berikutnya.

Ayat 46

قَالَ يَـٰنُوحُ إِنَّهُۥ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ ۖ إِنَّهُۥ عَمَلٌ غَيْرُ صَـٰلِحٍۢ ۖ فَلَا تَسْـَٔلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۖ إِنِّىٓ أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ

Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.

Ayat ini merupakan jawapan Allah Swt terhadap permohonan Nabi Nuh as agar anaknya yang kafir itu diselamatkan. Allah Swt menasihati Nabi Nuh as agar tidak meminta sesuatu yang Baginda tidak mengetahui. Ini kerana anak Baginda telahpun ditakdirkan tenggelam disebabkan kekufurannya dan sifat mengingkari ajaran ayahnya serta dia telah terputus hubungan disebabkan kekufurannya.

Ayat 47

قَالَ رَبِّ إِنِّىٓ أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْـَٔلَكَ مَا لَيْسَ لِى بِهِۦ عِلْمٌ ۖ وَإِلَّا تَغْفِرْ لِى وَتَرْحَمْنِىٓ أَكُن مِّنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Setelah ditegur oleh Allah Swt tentang permohonan untuk menyelamatkan anaknya, Nabi Nuh as memohon keampunan dan belas kasihan Allah Swt. Baginda menyedari sekiranya tiada keampunan dan rahmat-Nya tentu Baginda termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Nabi Nuh as tidak menyangka bahawa permohonannya agar diselamatkan anaknya yang kafir adalah dilarang dan perkara ini juga disebutkan dalam firman-Nya:

“Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim itu, sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.”

Hud 11:37

Ayat 48

قِيلَ يَـٰنُوحُ ٱهْبِطْ بِسَلَـٰمٍ مِّنَّا وَبَرَكَـٰتٍ عَلَيْكَ وَعَلَىٰٓ أُمَمٍ مِّمَّن مَّعَكَ ۚ وَأُمَمٌ سَنُمَتِّعُهُمْ ثُمَّ يَمَسُّهُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya”.

Allah Swt memberkati mereka semua yang terselamat daripada banjir, sehingga mereka dapat menetap di pelbagai pelosok bumi. Namun begitu ada juga di antara keturunan mereka ini menjadi orang-orang kafir dan akan diseksa di akhirat kelak.

Ayat 49

تِلْكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْغَيْبِ نُوحِيهَآ إِلَيْكَ ۖ مَا كُنتَ تَعْلَمُهَآ أَنتَ وَلَا قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَـٰذَا ۖ فَٱصْبِرْ ۖ إِنَّ ٱلْعَـٰقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ

(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan ibrah atau pengajaran daripada kisah Nabi Nuh as. Ini adalah antara peristiwa ghaib tentang Nabi Nuh as dan kaumnya yang beriman yang berlaku masa dahulu. Allah Swt mewahyukannya kepada Rasulullah saw seakan-akan Baginda menyaksikannya sendiri sehingga orang-orang yang mendustakan Baginda akan berkata sesungguhnya Baginda tidak belajar daripada seorang manusia melainkan Allah Swt yang memberitakan kepadanya.

Oleh itu, Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw bersabar terhadap pendustaan dan penyeksaan kaumnya yang kufur sebagaimana bersabarnya Nabi Nuh as terhadap kekufuran dan penyeksaan kaumnya yang kafir kerana sesungguhnya kemenangan dan keselamatan adalah bagi orang-orang yang taat dan bertakwa kepada-Nya. Firman-firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).”

Ghafir 40:51

“Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi Rasul, (iaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan.”

As-Saffat 37:171-172