Perbandingan antara Orang Kafir dengan Orang Mukmin, Amalan dan Balasan bagi Mereka
Surah 11: Hud (18- 24)
Ayat 18
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَىٰ رَبِّهِمْ وَيَقُولُ ٱلْأَشْهَـٰدُ هَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ كَذَبُوا۟ عَلَىٰ رَبِّهِمْ ۚ أَلَا لَعْنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): “Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!
Allah Swt menjelaskan bahawa orang-orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap-Nya adalah manusia yang paling zalim terhadap dirinya sendiri dan kehidupannya amatlah celaka di akhirat nanti.
Ini kerana mereka mendakwa bahawa Allah Ta’ala mempunyai anak. Orang-orang Arab jahiliyah mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu anak-anak perempuan-Nya dan orang-orang Nasrani mengatakan bahawa Nabi Isa as itu anak-Nya. Orang-orang Yahudi pula mengatakan ‘Uzair adalah anak-Nya. Maha suci Allah daripada apa yang mereka perkatakan.
Orang-orang yang tenggelam dalam kekafiran dan kemusyrikan serta mengada-adakan pendustaan terhadap Allah Ta’ala akan dihadapkan kepada-Nya. Mereka akan dihisab dengan hisab yang susah di hadapan khalayak ramai. Para malaikat, para nabi dan juga orang-orang beriman akan menjadi saksi dengan mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang mengada-adakan pendustaan terhadap Rabb mereka. Maka laknat Allah terhadap mereka yang zalim dan mereka terusir daripada rahmat-Nya.
Ayat 19
ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ كَـٰفِرُونَ
Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan agama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;
Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa orang-orang yang zalim ini kerana menghalang orang lain menuju ke jalan Allah Swt iaitu agama-Nya yang benar dan lurus. Mereka berusaha menyekat kebebasan orang lain mengamalkan agamanya dan juga menghendaki supaya jalan-Nya itu menjadi bengkok. Mereka lakukan ini dengan memberikan gambaran yang salah dan mengelirukan terhadap kebenaran dan kesucian agama Islam. Mereka sengaja berbuat demikian kerana mereka tidak mempercayai adanya hari akhirat dan hari pembalasan. Oleh itu, Allah Swt melaknat mereka dan dijauhkan daripada rahmat-Nya.
Ayat 20
أُو۟لَـٰٓئِكَ لَمْ يَكُونُوا۟ مُعْجِزِينَ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا كَانَ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ۘ يُضَـٰعَفُ لَهُمُ ٱلْعَذَابُ ۚ مَا كَانُوا۟ يَسْتَطِيعُونَ ٱلسَّمْعَ وَمَا كَانُوا۟ يُبْصِرُونَ
Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksa-Nya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan agama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang menghalang manusia menuju jalan-Nya, tidak akan dapat melarikan diri daripada seksaan-Nya. Mereka semuanya berada di bawah kekuasaan dan kekuatan-Nya.
Apabila azab itu datang menimpa mereka, ketika itu mereka tidak mempunyai penolong dan tidak ada yang dapat menghalangnya selain Allah Ta’ala. Bahkan azab itu akan dilipatgandakan disebabkan mereka bukan sahaja mengingkari adanya hari kebangkitan, malah mereka juga menghalang orang lain daripada menuju jalan-Nya. Firman-Nya:
”Dan mereka melarang (orang lain) mendengarkan Al-Quran dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya, dan mereka hanyalah membinasakan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedari.”
Al-An’am 6:26
Ini kerana mereka tidak mahu mendengar pengajaran daripada Al-Quran atau apa sahaja yang menunjukkan kebenaran. Firman Allah Swt:
“Dan orang-orang yang kafir berkata, ‘Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al-Quran ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya supaya kamu dapat mengalahkan (mereka).’”
Fussilat 41:26
Mereka juga tidak dapat melihat dan memerhatikan serta mengambil pelajaran daripada ayat-ayat Allah Swt yang terdapat di alam semesta kerana mereka sibuk dengan kekafiran.
Ayat 21
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ
Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.
Orang-orang yang memiliki sifat seperti yang disebutkan dalam ayat sebelum ini telah merugikan diri sendiri kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang menyala-nyala. Azab ke atas mereka itu tidak akan pernah berhenti walaupun sekejap. Firman-Nya:
”……………..Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalaannya.”
Al-Isra’ 17:97
Benda-benda atau sekutu-sekutu yang mereka sembah seperti berhala-berhala yang mereka harap dapat menolong mereka semuanya akan lenyap. Firman-Nya:
”(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat seksaan, dan (ketika itu) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.”
Al-Baqarah 2:166
Ayat 22
لَا جَرَمَ أَنَّهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ هُمُ ٱلْأَخْسَرُونَ
Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak.
Sesungguhnya mereka yang menukarkan darjat yang paling tinggi iaitu kenikmatan syurga dengan azab neraka Jahannam yang menghinakan adalah orang-orang yang paling rugi.
Ayat 23
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَأَخْبَتُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّهِمْ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.
Setelah Allah Swt menyebutkan keadaan orang-orang yang celaka di akhirat, Dia menyebutkan pula tentang orang-orang yang berbahagia iaitu mereka yang beriman kepada-Nya dan Rasul-Nya serta mengerjakan amal soleh dengan khusyuk dan tunduk kepada-Nya. Mereka inilah yang akan mewarisi syurga yang penuh dengan kenikmatan. Mereka tidak akan keluar lagi darinya dan mereka tidak akan mati, bahkan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.
Ayat 24
مَثَلُ ٱلْفَرِيقَيْنِ كَٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْأَصَمِّ وَٱلْبَصِيرِ وَٱلسَّمِيعِ ۚ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Perbandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?
Kemudian Allah Ta’ala membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir dan orang-orang mukmin.
Orang-orang kafir diumpamakan seperti orang-orang yang buta dan tuli. Mereka seperti orang-orang yang buta kerana mereka tidak mendapat petunjuk dan pengetahuan untuk menuju kepada kebenaran. Mereka juga seperti orang yang tuli kerana mereka tidak mahu mendengar hujjah sehingga tidak dapat mengambil manfaat daripadanya.
Orang-orang yang beriman pula Allah Ta’ala umpamakan seperti orang-orang yang dapat melihat dan mendengar (tidak buta dan tidak tuli). Mereka dapat melihat kebenaran dan mampu membezakan antara yang benar dan batil. Kemudian mereka memilih untuk mengikuti jalan kebenaran. Mereka juga dapat mendengar hujjah-hujjah dengan jelas serta dapat membezakan antara hujjah dan syubhah sehingga mereka tidak terjerumus ke dalam kebatilan.
Oleh itu, Allah Ta’ala mengemukakan pertanyaan adakah sama dua golongan ini. Sesungguhnya tidaklah sama kedua-duanya jika manusia dapat membuat perbandingan. Firman-Nya:
“Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat, dan tidak (juga) sama gelap gelita dengan cahaya, dan tidak (juga) sama yang teduh dengan yang panas, dan tidak (juga) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tidak sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.”
Fatir 35:19-22