Surah 11: Hud (17)

Larangan agar Tidak Ragu-ragu terhadap Al-Quran

Surah 11: Hud (17)


Ayat 17

أَفَمَن كَانَ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِۦ وَيَتْلُوهُ شَاهِدٌ مِّنْهُ وَمِن قَبْلِهِۦ كِتَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِمَامًا وَرَحْمَةً ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِهِۦ مِنَ ٱلْأَحْزَابِ فَٱلنَّارُ مَوْعِدُهُۥ ۚ فَلَا تَكُ فِى مِرْيَةٍ مِّنْهُ ۚ إِنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ

Jika demikian, adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan sebagai saksi dari pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui menerima Al-Quran; dan sesiapa ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka Nerakalah dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidaklah sama orang-orang yang hanya menginginkan kebahagiaan dan kesenangan di dunia sahaja dengan orang-orang yang berada dalam cahaya yang terang-benderang yang datang daripada-Nya dan dibimbing pula oleh petunjuk-petunjuk-Nya yang membuktikan kebenaran agamanya iaitu Al-Quran. Firman-Nya:

“Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Rabbnya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.”

Az-Zumar 39:22

Selain itu didukung pula oleh bukti-bukti lain yang datang sebelumnya, iaitu kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa as sebagai landasan iman. Sesiapa yang beriman kepadanya dengan sebenar-benar keimanan, maka mereka akan beriman kepada Al-Quran dan kitab itu akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman kepadanya dan mengamalkannya. Ini kerana kitab Injil dan Taurat mengikuti Al-Quran dan di dalam kedua-duanya ada menyebutkan sifat-sifat Rasulullah saw. Sesiapa yang kufur terhadap Al-Quran atau mengingkari Rasulullah saw, maka neraka Jahannamlah tempat kembali mereka. Firman-Nya:

“Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.”

Hud 11:16

Sesungguhnya Al-Quran itu adalah benar daripada Allah Swt, tidaklah patut seseorang itu meragukannya. Mereka hendaklah beriman dengan isi kandungannya namun kebanyakan mereka tidak mahu beriman dengannya.