Surah 11: Hud (121 – 122)

Penangguhan Azab terhadap Orang yang Tidak Beriman

Surah 11: Hud (121 – 122)


Ayat 121

وَقُل لِّلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ ٱعْمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنَّا عَـٰمِلُونَ

Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: “Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami).

Ayat 122

وَٱنتَظِرُوٓا۟ إِنَّا مُنتَظِرُونَ

Dan tunggulah (akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami)”.

Dalam ayat 121 dan 122 ini, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw memberi amaran kepada orang-orang yang tidak beriman itu bahawa mereka boleh berbuat menurut apa sahaja yang mereka mahu, tetapi mereka diingatkan bahawa kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan memperoleh hasil yang baik di dunia ini. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Katakanlah, ‘Wahai kaumku, berbuatlah sepenuh kemampuanmu, sesungguhnya akupun berbuat (juga). Kelak kamu akan mengetahui, siapakah (di antara kita) yang akan memperoleh hasil yang baik di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung.’”

Al-An‘am 6:135