Kebenaran Wahyu
Surah 11: Hud (12 – 14)
Ayat 12
فَلَعَلَّكَ تَارِكٌۢ بَعْضَ مَا يُوحَىٰٓ إِلَيْكَ وَضَآئِقٌۢ بِهِۦ صَدْرُكَ أَن يَقُولُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ كَنزٌ أَوْ جَآءَ مَعَهُۥ مَلَكٌ ۚ إِنَّمَآ أَنتَ نَذِيرٌ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ وَكِيلٌ
Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepada-Nya).
Sebahagian ahli tafsir mengatakan ayat ini adalah tentang firman Allah Swt kepada Nabi Muhammad saw sebagai satu hiburan atau galakan kepada Baginda atas perlakuan buruk orang-orang musyrik kepadanya.
Allah Swt memberikan dorongan supaya Baginda tidak meninggalkan dakwah hanya dengan sebab ejekan dan cacian orang-orang musyrik tersebut. Kata-kata ejekan mereka seharusnya tidak menjadikan Rasulullah saw lemah dalam meneruskan dakwah. Dia memerintahkan Rasul-Nya supaya terus tabah menghadapi rintangan dalam menyampaikan wahyu yang diturunkan kepadanya di samping tidak menyembunyikannya.
Allah Swt memberitahu Rasulullah saw bahawa tugasnya hanyalah menyampaikan peringatan, sama seperti rasul-rasul terdahulu. Mereka juga pernah didustakan dan disakiti tetapi mereka tetap bersabar sehingga Allah Swt mendatangkan pertolongan.
Dalam ayat ini terdapat petunjuk, bahawa tidak patut bagi seseorang da’i yang mengajak manusia kepada Allah Ta’ala berhenti berdakwah hanya disebabkan ada yang menghalang atau mencela, khususnya apabila celaan tersebut tidak mempunyai sandaran. Seseorang da’i sepatutnya tidak cepat berputus asa atau mengalah, tetapi hendaklah tenang dan terus berdakwah.
Ayat 13
أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا۟ بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِۦ مُفْتَرَيَـٰتٍ وَٱدْعُوا۟ مَنِ ٱسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu!” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Orang-orang musyrik Mekah menuduh bahawa Rasulullah saw telah mengada-adakan Al-Quran.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mencabar orang-orang kafir Quraisy agar membuat sepuluh surah yang serupa dengan Al-Quran dari segi kefasihan bahasanya, susunan kata-kata yang sangat indah dan halus, kesempurnaan hukum-hukum (syariat) kemasyarakatan, hikmah-hikmah, nasihat-nasihat, berita-berita yang ghaib tentang umat-umat yang terdahulu dan berita-berita yang ghaib tentang peristiwa yang akan datang.
Ayat 14
فَإِلَّمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَكُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَآ أُنزِلَ بِعِلْمِ ٱللَّهِ وَأَن لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ
Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?
Sesudah itu, Allah Swt menjelaskan bahawa jika orang-orang musyrik itu tidak mampu memenuhi cabaran Rasulullah saw padahal mereka itu ahli bahasa dan ahli sastera yang ulung, maka ketahuilah bahawasanya Al-Quran itu bukan rekaan Baginda, tetapi semata-mata diturunkan oleh Allah Swt atas kehendak-Nya, supaya disampaikan oleh Baginda kepada sekalian umatnya.
Oleh itu, terbuktilah bahawa tidak ada Ilah yang wajib disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Swt. Ini kerana hanya Dia-lah yang mengetahui segala perkara yang ghaib dan tidak ada tandingan-Nya atau sekutu dalam melaksanakan kekuasaan-Nya.
Pada akhir ayat Allah Swt memerintahkan agar mereka berserah diri kepada-Nya setelah mereka mengetahui hujah-hujah yang sangat kuat bahawa Al-Quran adalah datang daripada-Nya dan agar mereka memeluk agama Islam.