Surah 11: Hud (118 – 119)

Jika Allah Swt Menghendaki Nescaya Dia Jadikan Umat yang Satu

Surah 11: Hud (118 – 119)


Ayat 118

وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةً وَٰحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia mampu menjadikan semua manusia ini satu umat, sama ada mereka semua beriman atau semuanya kafir. Namun Allah Swt tidak menghendaki yang demikian dan hal ini juga disebutkan dalam ayat di bawah:

“Dan jikalau Rabbmu menghendaki, tentulah beriman orang yang di muka bumi seluruhnya………………….”

Yunus 10:99

Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa akan sentiasa berlaku perselisihan pendapat di kalangan umat manusia walaupun jika Dia menjadikan mereka mempunyai agama dan syariat yang satu. Ini kerana terdapat pemahaman dan keyakinan yang berbeza di kalangan manusia dalam perkara agama yang menjadi ikutan atau pegangan masing-masing. Semua ini ada dalam pengetahuan-Nya.

Ayat 119

إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”.

Maksud “Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu” ialah kecuali orang-orang yang dirahmati Allah Swt daripada kalangan pengikut para Rasul. Mereka berpegang teguh kepada perintah agama yang disampaikan oleh para Rasul. Mereka ini adalah golongan yang selamat dan akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ini sebagaimana yang dihuraikan dalam hadis:

“Sesungguhnya orang-orang Yahudi terpecah menjadi tujuh puluh satu golongan, orang-orang Nasrani terpecah menjadi tujuh puluh dua golongan dan umatku ini akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan yang masuk syurga dan tujuh puluh dua masuk neraka.” Dikatakan, “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Iaitu orang yang mengikutiku dan para sahabatku.”

(HR. Al-Hakim, Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Maksud, “Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”.” ialah Allah Swt telah menetapkan di dalam qada’ dan qadar-Nya dengan kesempurnaan ilmu-Nya dan kebijaksanaan­Nya, bahawa di antara makhluk yang diciptakan-Nya ada yang berhak mendapat syurga, ada pula yang berhak mendapat neraka. Ini merupakan suatu kepastian bahawa Dia akan memenuhkan neraka Jahannam daripada kedua-dua jenis makhluk-Nya, iaitu jin dan manusia. Allah Swt mempunyai hujjah yang kuat dan kebijaksanaan yang sempurna dalam semua perbuatan-Nya. Dalam kitab Sahihain disebutkan daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Syurga dan neraka saling berdebat. Syurga berkata, “Mengapa tidak memasuki aku kecuali orang-orang yang lemah dan orang-orang yang rendah?” Neraka berkata, “Aku dipenuhi orang-orang yang sombong dan orang-orang yang melampaui batas.” Maka Allah Swt berfirman kepada syurga, “Engkau adalah rahmat-Ku, Aku merahmati orang yang Aku kehendaki.” Dan Allah berfirman kepada neraka, “Engkau adalah azab-Ku, Aku menyeksa denganmu terhadap orang yang Aku kehendaki. Dan masing-masing kamu berdua akan dipenuhi (penghuninya).” Adapun syurga, maka di dalamnya sentiasa ada tempat berlebihan hingga Allah menciptakan baginya suatu ciptaan yang membuat lebihan syurga menjadi terisi. Sedangkan neraka, maka ia masih terus mengatakan, “Apakah masih ada tambahan lagi?” hingga Rabb Yang Maha Perkasa meletakkan tapak kaki Kemuliaan-Nya, maka saat itu barulah neraka mengatakan “Cukup, cukup, demi Kemuliaan-Mu.””

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)