Surah 11: Hud (110 – 111)

Penyempurnaan Balasan kepada Manusia

Surah 11: Hud (110 – 111)


Ayat 110

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ فَٱخْتُلِفَ فِيهِ ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِىَ بَيْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَفِى شَكٍّۢ مِّنْهُ مُرِيبٍ

(Janganlah engkau merasa bimbang wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu) kerana sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka masih menaruh perasaan ragu-ragu tentang (kebenaran Al-Quran) itu.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah memberikan Nabi Musa as sebuah kitab iaitu Taurat. Kaum Bani Israil kemudiannya berselisih tentang kitab itu kerana kezaliman dan pertikaian demi kepentingan kekuasaan dan keduniaan.

Ada sebahagian daripada kaum Nabi Musa as yang beriman dan sebahagian lagi kufur sedangkan kitab Taurat ini diturunkan untuk menyatukan umat manusia di bawah kalimah Allah Ta’ala.

Oleh itu, Allah Ta’ala memujuk Rasulullah saw agar tidak menghiraukan dan risau dengan perselisihan dan pendustaan kaumnya terhadap Al-Quran. Ini kerana Baginda mempunyai teladan (uswah) daripada para Nabi terdahulu.

Sekiranya tidak ada ketetapan daripada Allah Ta’ala dengan menangguhkan azab sehingga sampai waktu yang telah diputuskan-Nya, pasti diturunkan hukuman dengan membinasakan orang-orang berbuat maksiat dan menyelamatkan orang-orang beriman seperti yang berlaku pada umat terdahulu. Firman-Nya:

“Dan sekiranya tidak ada suatu ketetapan daripada Rabbmu yang telah terdahulu atau tidak ada ajal yang telah ditentukan, pasti (azab itu) menimpa mereka. Maka sabarlah kamu (wahai Muhammad) atas apa yang mereka katakan……………”

Taha 20:129-130

Ayat 111

وَإِنَّ كُلًّا لَّمَّا لَيُوَفِّيَنَّهُمْ رَبُّكَ أَعْمَـٰلَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا يَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Dan sesungguhnya tiap-tiap seorang akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang kafir berada dalam keraguan yang merupakan sumber kegelisahan dan keresahan kerana meragui kebenaran kitab Taurat. Firman-Nya:

“Dan mereka (ahli kitab) tidak berpecah belah, kecuali setelah datang kepada mereka ilmu pengetahuan, kerana kedengkian di antara mereka. Kalau tidaklah kerana sesuatu ketetapan yang telah ada daripada Rabbmu dahulunya (untuk menangguhkan azab) sampai kepada waktu yang ditentukan, pastilah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang diwariskan kepada mereka Al-Kitab (Taurat dan Injil) sesudah mereka, benar-benar berada dalam keraguan yang menggoncangkan tentang kitab itu.”

Asy-Syura 42:14

Sesungguhnya sama ada orang-orang beriman ataupun orang-orang kafir yang berselisih tentang kitab Allah Ta’ala maka pasti Dia akan memberikan balasan amal perbuatan mereka seperti yang telah dijanjikan-Nya. Ini kerana Dia Maha Mengetahui segala amal perbuatan sama ada yang zahir atau tersembunyi dan mereka sedikitpun tidak akan dizalimi.