Surah 11: Hud (109)

Syirik Merupakan Kesesatan yang Nyata

Surah 11: Hud (109)


Ayat 109

فَلَا تَكُ فِى مِرْيَةٍ مِّمَّا يَعْبُدُ هَـٰٓؤُلَآءِ ۚ مَا يَعْبُدُونَ إِلَّا كَمَا يَعْبُدُ ءَابَآؤُهُم مِّن قَبْلُ ۚ وَإِنَّا لَمُوَفُّوهُمْ نَصِيبَهُمْ غَيْرَ مَنقُوصٍ

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu tentang sia-sianya apa yang disembah oleh mereka yang musyrik itu. Mereka tidak menyembah melainkan sama seperti yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik dahulu. Dan sesungguhnya Kami akan menyempurnakan bagi mereka bahagian mereka (dari azab yang telah ditentukan) dengan tidak dikurangi.

Allah Swt menyatakan bahawa penyembahan orang-orang musyrik terhadap berhala-berhala hanyalah kerana kebodohan dan taklid buta kepada nenek moyang dan orang-orang terdahulu.

Oleh itu, Rasulullah saw diingatkan agar tidak ragu-ragu terhadap apa yang mereka sembah itu kerana semua itu tidak mendatangkan manfaat atau kemudharatan dan sesungguhnya Allah Ta’ala sekali-kali tidak memerintahkan untuk menyembahnya.

Allah Ta’ala Maha Adil terhadap hak orang-orang kafir dengan memberi balasan amal kebaikan mereka di dunia ini seperti rezeki dengan tidak dikurangi sedikit pun. Namun mereka tidak akan mendapat balasan itu di akhirat kelak. Ini kerana amalan diterima berdasarkan keimanan.