Penjelasan tentang Hari Kiamat
Surah 11: Hud (103 – 105)
Ayat 103
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ ٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ ٱلنَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ
Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.
Kisah-kisah yang disebutkan sebelum ini iaitu kebinasaan kaum yang kufur dan diselamatkan orang-orang yang beriman terdapat pengajaran dan dalil yang menunjukkan bahawa orang-orang zalim akan mendapatkan hukuman di dunia dan di akhirat.
Akhirat adalah hari dikumpulkan semua manusia mulai yang pertama dicipta hinggalah yang terakhir dan pada hari itu semua manusia dihisab dan diberikan balasan. Firman Allah Swt:
“Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan dapat melihat bumi itu datar dan Kami kumpulkan seluruh manusia, dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka.”
Al-Kahfi 18:47
Maksud “Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” dalam ayat di atas ialah hari berkumpulnya seluruh makhluk iaitu manusia, jin, binatang, para malaikat serta para Rasul. Semua makhluk akan menyaksikan setiap amalan yang telah dilakukan ketika berada di dunia dahulu yang ditayangkan di hadapan mereka pada hari tersebut.
Ayat 104
وَمَا نُؤَخِّرُهُۥٓ إِلَّا لِأَجَلٍ مَّعْدُودٍ
Dan tiadalah Kami lambatkan hari kiamat itu melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu.
Hari Kiamat tidak akan dilambatkan ataupun dicepatkan. Apabila sampai waktunya Allah Swt akan melaksanakan segala ketetapan-Nya. Firman-Nya:
“Dan Rabbmu-lah yang Maha Pengampun, lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu yang tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung daripadanya.”
Al-Kahfi 18:58
Ayat 105
يَوْمَ يَأْتِ لَا تَكَلَّمُ نَفْسٌ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ فَمِنْهُمْ شَقِىٌّ وَسَعِيدٌ
(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.
Pada hari datangnya kiamat, tidak ada seorang pun yang dapat berbicara kecuali dengan izin Allah Swt. Dia-lah yang memiliki perintah dan larangan. Firman-Nya:
“Pada hari, ketika Ruh (Jibril) dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang telah diberi izin kepadanya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, dan dia mengucapkan kata yang benar.”
An-Naba’ 78:38
Orang-orang yang sengsara adalah orang-orang yang kafir kepada Allah Swt dan Rasul-Nya. Manakala orang-orang yang berbahagia adalah orang-orang yang beriman dan bertakwa. Firman-Nya:
“………………..memberi peringatan (pula) tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk Jahannam.”
Asy-Syu’ara’ 42:7