Tidak Bermanfaat Keimanan ketika Datangnya Azab kecuali bagi Kaum Nabi Yunus as
Surah 10: Yunus (98)
Ayat 98
فَلَوْلَا كَانَتْ قَرْيَةٌ ءَامَنَتْ فَنَفَعَهَآ إِيمَـٰنُهَآ إِلَّا قَوْمَ يُونُسَ لَمَّآ ءَامَنُوا۟ كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَابَ ٱلْخِزْىِ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَمَتَّعْنَـٰهُمْ إِلَىٰ حِينٍ
(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).
At-Tabari meriwayatkan daripada Qatadah, beliau mentafsirkan bahawa ayat ini bermaksud, “Jika penduduk sesebuah negeri telah kafir, kemudian baru beriman pada saat mereka ditimpa azab, keimanan mereka itu tidak bermanfaat lagi. Mereka akan terus dibiarkan terkena azab. Ini terkecuali kepada kaum Nabi Yunus as. Tatkala Nabi Yunus as meninggalkan negerinya, kaumnya menyangka bahawa azab yang diingatkan kepada mereka akan segera berlaku. Oleh itu, mereka segera menyesal dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan berdoa selama empat puluh malam. Setelah kejujuran taubat mereka terbukti, maka Allah Ta‘ala menjauhkan azab yang hampir sahaja menimpa mereka.”