Surah 10: Yunus (61)

Segala Perbuatan Manusia Tidak Lepas daripada Pengetahuan Allah Swt

Surah 10: Yunus (61)


Ayat 61

وَمَا تَكُونُ فِى شَأْنٍ وَمَا تَتْلُوا۟ مِنْهُ مِن قُرْءَانٍ وَلَا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ إِلَّا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ ۚ وَمَا يَعْزُبُ عَن رَّبِّكَ مِن مِّثْقَالِ ذَرَّةٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ وَلَآ أَصْغَرَ مِن ذَٰلِكَ وَلَآ أَكْبَرَ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ مُّبِينٍ

Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

Allah Swt memberitahu Rasulullah saw bahawa sesungguhnya Dia Maha Mengetahui semua keadaan Baginda, keadaan umatnya dan keadaan semua makhluk pada setiap masa.

Allah Ta’ala juga menjelaskan bahawa sesungguhnya tidak luput daripada pengetahuan dan penglihatan-Nya, biar sekecil apa pun yang ada di langit dan di bumi, atau yang lebih kecil dan yang lebih besar daripadanya kerana semuanya tercatat dalam kitab yang nyata. Firman-Nya:

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”

Al-An‘am 6:59

Oleh itu, Allah Ta’ala sentiasa menyaksikan, melihat dan mendengar apa sahaja yang dilakukan oleh manusia. Rasulullah saw bersabda ketika Jibril bertanya kepadanya tentang ihsan:

“(Ihsan itu adalah) kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, meskipun kamu tidak dapat melihatNya, maka (yakinlah) sesungguhnya Dia melihat kamu.”

(HR. Muslim)