Surah 10: Yunus (55 – 56)

Allah Swt Maha Berkuasa atas Segala Sesuatu

Surah 10: Yunus (55 – 56)


Ayat 55

أَلَآ إِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ أَلَآ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia adalah Pemilik langit dan bumi. Dia berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Selain itu, Allah Ta’ala juga menegaskan bahawa apa sahaja janji yang telah ditetapkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya melalui rasul-Nya, adalah janji yang pasti benar. Ini kerana Dia yang berkuasa atas sesuatu, tentu berkuasa pula memenuhi janji-Nya dan tidak ada seorang pun yang dapat mempengaruhi-Nya.

Kemudian Allah Ta’ala mencela sebahagian besar orang-orang musyrik kerana mereka sentiasa mendustakan ayat-ayat-Nya dan hari kebangkitan, padahal mereka telah membaca kebenaran ayat-ayat-Nya dan telah mendengar bimbingan-bimbingan yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Hal itu menunjukkan bahawa penilaian mereka terhadap Allah Ta’ala tidak benar dan dipengaruhi oleh sikap permusuhan kepada Rasulullah saw serta kefanatikan mereka terhadap agama nenek moyang mereka.

Ayat 56

هُوَ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Dia-lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.

Allah Swt menyatakan bahawa hanya Dia yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan. Tiada siapa yang dapat menghalang apabila Dia menghendaki mematikan seseorang. Kemudian kepada-Nya-lah kembalinya semua makhluk.

Allah Ta’ala berkuasa untuk membangkitkan manusia dari alam kuburnya dan mengembalikan mereka kepada-Nya pada saat tibanya hari yang telah dijanjikan, iaitu hari pembalasan. Ketika itu manusia akan diadili, dan akan diberikan pembalasan yang setimpal dengan amal perbuatan mereka.