Surah 10: Yunus (34 – 36)

Persangkaan Orang Musyrik Tidak Sedikitpun Berguna untuk Mencapai Kebenaran

Surah 10: Yunus (34 – 36)


Ayat 34

قُلْ هَلْ مِن شُرَكَآئِكُم مَّن يَبْدَؤُا۟ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ ۚ قُلِ ٱللَّهُ يَبْدَؤُا۟ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ ۖ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? “Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw menanyakan kepada orang-orang musyrik, adakah di antara sekutu-sekutu mereka yang mereka sembah itu seperti patung berhala, roh nenek moyang, binatang-binatang, planet-planet, malaikat, jin atau sebagainya dapat menciptakan langit dan bumi, kemudian menciptakan makhluk-makhluk di dalamnya tanpa mempunyai contoh sebelumnya, kemudian mengulanginya lagi iaitu setelah makhluk itu mati dapatkah sekutu-sekutu mereka itu mengembalikan semuanya hidup semula.

Hal ini disebabkan mereka mengingkari terjadinya hari kebangkitan iaitu hari mereka dihidupkan kembali dari alam kubur dan mereka tidak mampu menjawab pertanyaan tersebut. Lalu Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw mengatakan kepada mereka bahawa hanyalah Allah Swt Yang Berkuasa untuk memulai kehidupan atau mengembalikannya seperti keadaan asalnya. Amat menghairankan mengapa mereka masih tidak mahu mengakui kebesaran dan keagungan Allah Ta’ala dan tidak mahu menerima agama yang benar iaitu agama tauhid sedangkan mereka mengetahui berhala dan patung-patung yang mereka sembah itu tidak berupaya menciptakan sesuatu apa pun.

Ayat 35

قُلْ هَلْ مِن شُرَكَآئِكُم مَّن يَهْدِىٓ إِلَى ٱلْحَقِّ ۚ قُلِ ٱللَّهُ يَهْدِى لِلْحَقِّ ۗ أَفَمَن يَهْدِىٓ إِلَى ٱلْحَقِّ أَحَقُّ أَن يُتَّبَعَ أَمَّن لَّا يَهِدِّىٓ إِلَّآ أَن يُهْدَىٰ ۖ فَمَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?”

Sesudah itu, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengemukakan pertanyaan kepada mereka, adakah di antara tuhan-tuhan yang mereka sekutukan denganNya itu dapat memberikan petunjuk kepada jalan yang benar seperti yang diterima oleh hamba-hamba-Nya yang beriman.

Seterusnya, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang musyrik bahawa mereka tidak mampu memberikan petunjuk kepada kebenaran. Sesungguhnya yang mampu memberikan petunjuk kepada orang yang sesat hanyalah Allah Swt. Firman-Nya:

“………..‘Rabb kami ialah (Rabb) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk.’”

Taha 20:50

Selanjutnya, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menanyakan lagi, siapakah yang lebih tepat untuk diikuti antara hamba yang mendapat petunjuk kepada kebenaran dan mampu melihat kebenaran atau orang yang tidak dapat memberi petunjuk itu berhak untuk diikuti padahal dia sendiri berkehendak untuk dipimpin.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt mencela perbuatan mereka kerana menjadikan berhala-berhala itu sebagai perantara yang dapat menyampaikan ibadah mereka kepada-Nya, padahal berhala-berhala itu bukanlah tuhan yang menciptakan, dan bukan yang memberi rezeki serta bukan pula tuhan yang memberi petunjuk.

Maka mengapa mereka mengambil keputusan yang salah dengan menganggap tuhan-tuhan yang mereka persekutukan itu sebagai Tuhan yang berhak disembah dan berhak diminta pertolongan tanpa izin daripada Zat Yang menciptakan. Oleh itu, terserlahlah kesesatan orang-orang musyrik itu dan keburukan tindakan mereka.

Ayat 36

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا ۚ إِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغْنِى مِنَ ٱلْحَقِّ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِمَا يَفْعَلُونَ

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa orang-orang yang menyekutukan Allah Swt tidak mempunyai atau mengikuti satu dalil (bukti) pun. Mereka menyembah berhala, kerana mereka bertaklid (ikut-ikutan) kepada nenek moyang mereka. Sesuatu yang diperoleh dengan sangkaan sama sekali tidak boleh menggantikan sesuatu yang diperoleh dengan keyakinan. Allah Maha Mengetahui dan Dia akan memberikan balasan yang setimpal kepada mereka.