Balasan Orang yang Melakukan Kebaikan dan Kejahatan
Surah 10: Yunus (26 – 27)
Ayat 26
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ ٱلْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ ۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Allah Swt memberitahu bahawa sesungguhnya orang-orang yang memperbaiki amalan soleh mereka di dunia, ada balasan bagi mereka iaitu dilipatgandakan pahala dan dimasukkan ke dalam syurga. Firman-Nya:
“Tidak ada balasan kebaikan (amal soleh) kecuali kebaikan pula (syurga).”
Ar-Rahman 55:60
Memperbaiki amalan ialah melakukan ibadah dengan berbuat ihsan kepada Allah Swt iaitu beribadah kepada-Nya sehingga terasa seakan-akan melihat-Nya atau sekurang-kurangnya terasa berada dalam pengawasan-Nya.
Demikian juga berbuat ihsan kepada hamba-hamba Allah Swt dengan melakukan perbuatan baik sama ada berupa perkataan ataupun perbuatan. Selain itu, memperbaiki amalan juga termasuk menyuruh berbuat kebaikan (amar makruf), mencegah kemungkaran (nahi mungkar), seperti mengajar orang rai tentang ilmu yang bermanfaat dan memberi nasihat kepada yang melanggar perintah Allah Swt.
Maksud, “tambahan” dalam ayat di atas ialah pahala amalan dilipatgandakan, ditambah pula dengan segala kenikmatan di syurga yang menyedapkan pandangan mata serta yang paling istimewa ialah dapat melihat wajah Allah Swt, dapat mendengar firman-Nya dan memperoleh keredhaan-Nya. Firman-Nya:
“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Rabbnya lah mereka melihat.”
Al-Qiyamah 75:22-23
Debu hitam di Mahsyar menutupi muka orang-orang kafir dan para pendusta, sebaliknya muka orang-orang yang beriman berseri-seri dan tidak ada sedikit pun tanda kesusahan dan kehinaan. Firman-Nya:
“Maka Allah memelihara mereka daripada kesusahan hari itu, dan memberikan mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati.”
Al-Insan 76:11
Ayat 27
وَٱلَّذِينَ كَسَبُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ جَزَآءُ سَيِّئَةٍ بِمِثْلِهَا وَتَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ ۖ مَّا لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ ۖ كَأَنَّمَآ أُغْشِيَتْ وُجُوهُهُمْ قِطَعًا مِّنَ ٱلَّيْلِ مُظْلِمًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Allah Ta’ala menyebutkan keadilan-Nya bahawa bagi orang-orang yang melakukan kejahatan, mereka akan diberi balasan setimpal dengan perbuatan buruk mereka, tanpa ada penambahan atau gandaan azabnya, sedangkan dalam ayat sebelum ini Dia menjanjikan gandaan dan penambahan balasan kebaikan kepada penghuni syurga. Betapa besar perbezaan antara balasan kepada penghuni syurga dengan balasan kepada penghuni neraka. Firman-Nya:
“Dan banyak (pula) muka pada hari itu tertutup debu, dan ditutup lagi oleh kegelapan. Mereka itulah orang-orang kafir lagi derhaka.”
‘Abasa 80:40-42