Surah 10: Yunus (13 – 14)

Allah Swt Tidak Membinasakan Suatu Umat sebelum Mengutuskan Para Rasul kepada Mereka

Surah 10: Yunus (13 – 14)


Ayat 13

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا ٱلْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا۟ ۙ وَجَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَمَا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوا۟ ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْقَوْمَ ٱلْمُجْرِمِينَ

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.

Ayat ini menerangkan apa yang menimpa umat-umat terdahulu. Allah Ta’ala membinasakan orang-orang kafir dan musyrik disebabkan mereka zalim kepada Allah Swt dengan melakukan kekafiran dan kesyirikan.

Allah Swt mengutuskan para Rasul dengan membawa bukti-bukti kebenaran, namun mereka tidak mahu tunduk dan beriman.

Ayat 14

ثُمَّ جَعَلْنَـٰكُمْ خَلَـٰٓئِفَ فِى ٱلْأَرْضِ مِنۢ بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

Ayat ini merupakan peringatan kepada kaum muslim agar selalu meneliti dan berhati-hati tentang apa yang akan mereka lakukan dan mengingatkan mereka kepada tugas-tugas yang diberikan oleh Allah Ta’ala kepada manusia sebagai khalifah di bumi-Nya.

Antara tugas خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ  ialah menegakkan hak dan keadilan di muka bumi, membersihkan alam ini daripada perbuatan syirik, fasik dan meninggikan kalimah Allah Swt. Dia akan memerhatikan dan mencatat semua perbuatan manusia dalam melaksanakan tugas-Nya itu, sama ada sesuai dengan yang diperintahkan-Nya atau tidak sebagaimana firman-Nya:

“Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, dan adalah singgahsana-Nya (sebelum itu) di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya……………….”

Hud 11:7

Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Melihat dan Dia akan memberi balasan kepada hamba-hamba-Nya bersesuaian dengan amalan yang telah mereka lakukan.