Surah 10: Yunus (104 – 107)

Kewajipan untuk Beribadah hanya kepada Allah Swt

Surah 10: Yunus (104 – 107)


Ayat 104

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُمْ فِى شَكٍّۢ مِّن دِينِى فَلَآ أَعْبُدُ ٱلَّذِينَ تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنْ أَعْبُدُ ٱللَّهَ ٱلَّذِى يَتَوَفَّىٰكُمْ ۖ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran agamaku, maka (ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang kamu menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada kaum musyrik bahawa jika mereka masih ragu-ragu terhadap kebenaran yang dibawanya iaitu agama yang lurus, maka sepatutnya mereka lebih lagi meragukan agama yang mereka pertahankan itu. Ini kerana apa yang mereka sembah itu baik berhala ataupun patung sama sekali tidak memiliki kemampuan untuk memberikan sebarang manfaat ataupun mudarat.

Rasulullah saw mengatakan bahawa Baginda akan menyembah Rabb Yang Maha Pencipta, yang menentukan hidup dan mati semua makhluk-Nya. Dia-lah yang memberi kesenangan dan kesusahan, kemanfaatan dan kemudaratan menurut hikmah dan inayah-Nya (pertolongan-Nya). Rabb yang memiliki sifat-sifat demikian, yang penuh dengan kesempurnaan layak untuk disembah, ditakuti dan ditaati bukanlah seperti tuhan yang mereka sembah itu.

Kemudian Rasulullah saw mengatakan kepada kaum musyrik Arab bahawa Baginda diperintahkan supaya menjadi orang yang beriman. Allah Swt telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman keselamatan daripada azab, kemenangan atas musuh-musuh mereka dan kekuasaan di atas bumi.

Ayat 105

وَأَنْ أَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik ‘.”

Selanjutnya Rasulullah saw diperintahkan agar menumpukan peribadatannya, istiqamah pada peraturan agama yang lurus dan sentiasa melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan serta ikhlas beribadat kepada Allah Swt agar tidak termasuk dalam golongan musyrik. Firman-Nya:

“Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.”

Al-An’am 6:79

Ayat 106

وَلَا تَدْعُ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَ ۖ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).

Kemudian Allah Ta’ala melarang Rasulullah saw berdoa dan beribadah kepada selain-Nya, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat di dunia juga di akhirat jika Baginda menyembahnya, dan tidak pula dapat memberikan mudarat jika meninggalkan atau tidak menyembahnya.

Sekiranya Rasulullah saw menyembah selain Allah Swt, sesungguhnya Baginda termasuk dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Ini kerana tidak ada kezaliman yang lebih besar selain menyekutukan-Nya.

Ayat 107

وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَآدَّ لِفَضْلِهِۦ ۚ يُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Kemudian Allah Ta’ala menegaskan lagi bahawa tidak ada selain-Nya yang boleh mendatangkan manfaat atau mudarat atau musibah. Sekiranya musibah menimpa seseorang maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia.

Sekiranya Allah Ta’ala menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya kecuali Dia. Dia-lah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia Maha Mengetahui dengan hikmah dan ilmu-Nya.

Allah Swt Maha Pengampun lagi Penyayang bagi sesiapa yang bertaubat kepadaNya walau sebesar apa pun dosanya, bahkan dosa syirik sekalipun, sungguh Dia akan menerima taubatnya. Oleh itu, carilah rahmat-Nya dalam ketaatan dan jangan berputus asa terhadap keampunan-Nya.