Surah Al-Baqarah
Struktur Surah
Ringkasan bagi keseluruhan isi kandungan Surah Al-Baqarah boleh disusun dalam struktur seperti yang ditunjukkan di bawah. Surah ini yang mengandungi 286 ayat boleh dibahagikan kepada 7 bahagian dengan nombor ayat yang berkaitan ditunjukkan dalam kurungan:
Berdasarkan gambarajah di atas, terdapat dua panel: [ABC] dan [C’B’A’], dan ianya refleksi antara satu sama lain dan disatukan di tengah oleh [D].
Dalam Bahagian A: Iman lwn Kufur (Ayat 1-39)
Sifat-sifat orang beriman diterangkan secara ringkas dalam ayat (3-5). Namun, sifat-sifat orang yang tidak beriman, khususnya orang munafik dihuraikan secara terperinci dalam ayat (6-20). Dalam bahagian berikutnya, huraian yang terakhir iaitu sifat-sifat orang tidak beriman adalah berkaitan dengan orang-orang dari kalangan Bani Israil.
Dalam Bahagian B: Syariat Bani Israil (Ayat 40-121)
Dimulai dengan perintah pertama daripada Allah swt yang ditujukan kepada Bani Israil: “Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu…” (40) . Seluruh bahagian kemudiannya diteruskan dengan kisah Bani Israil pada zaman Nabi Musa as. Mereka gagal dalam mematuhi syariat Allah yang disampaikan oleh Nabi Musa as, menyebabkan mereka digugurkan dari kelebihan sebagai “umat terbaik di sisi Allah”.
Kisah-kisah itu adalah sebagai dakwah Rasullullah saw kepada orang Yahudi yang telah berada lama di Madinah sebelum hijrah namun mereka memilih untuk tidak beriman kepada baginda sebagai Rasul yang terakhir sedangkan Rasulullah saw dan Nabi Musa as, kedua-duanya dari zuriat keturunan Nabi Ibrahim as dan ketiga-tiganya membawa risalah tauhid yang sama.
Dalam Bahagian C: Legasi Nabi Ibrahim as (Ayat 122-141)
Dimulai juga dengan perintah kepada Bani Israil: “Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu dan Aku telah melebihkan kamu atas umat-umat yang lain” (122), dan menyeru mereka untuk kembali pada jalan Nabi Ibrahim as.
Panel [ABC] menonjolkan sifat negatif kaum Yahudi di Madinah dan persamaannya dengan moyang mereka Bani Israil di zaman Nabi Musa as yang gagal dalam mengekalkan legasi Nabi Ibrahim as dan menyebabkan mereka digugurkan dari kelebihan sebagai pemimpin dunia.
Manakala panel [C’B’A’] tampil dengan keputusan Allah untuk menukar kepimpinan dari Bani Israil kepada umat Islam (melalui seorang Rasul Arab dari nasab Nabi Ismail as dan bukan lagi dari nasab Nabi Ishak as yang dibangga-banggakan oleh orang Yahudi). Mereka ini lah yang menjadi pewaris kepada legasi Nabi Ibrahim as.
Pertukaran kepimpinan ini bermula dengan pertukaran arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah.
Dalam Bahagian D: Pertukaran Arah Kiblat (Ayat 142-152)
Ia merupakan titik perubahan di mana surah ini boleh dikatakan “berpaling” dari [ABC] kepada [C’B’A’]. Di bahagian inilah Allah swt secara rasmi mengumumkan penubuhan masyarakat Islam sebagai “bangsa pertengahan” atau “middle nation”.
Oleh itu, pertukaran arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah yang menandakan penubuhan rasmi umat Islam sebagai masyarakat atau umat yang baharu yang dipilih Allah, telah mengambil tempat Bani Israil. Ini lebih jelas dinyatakan dalam ayat 150 di mana Allah swt mengisytiharkan, “… supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah”, berbeza dengan sebutan ke atas Bani Israil supaya mengenangi nikmat-nikmat Allah ke atas mereka dalam ayat (40, 47, 121).
Dalam Bahagian C’: Mengembalikan Legasi Nabi Ibrahim as (Ayat 153-177)
Bahagian [C’] bermula dengan perintah Allah kepada Kaum Muslimin: “Wahai orang yang beriman…” (153) – sama seperti bahagian [B] dan [C] yang dimulai dengan perintah Allah kepada Bani Israil.
Di bahagian ini lah kita menemui tema menyeluruh dari surah ini, iaitu penubuhan negara Islam baharu untuk mengembalikan legasi Nabi Ibrahim as, sebuah masyarakat berdasarkan penyerahan diri kepada Allah swt dan mempunyai kepercayaan yang konsisten terhadap semua rasul dan wahyu Allah (berbeza dengan masyarakat terdahulu iaitu Bani Israil).
Dalam Bahagian B’: Syariat Kaum Muslimin (Ayat 178-242)
Bagi mengelakkan umat Islam di bawah kepimpinan Nabi Muhammad saw mengulangi skrip kegagalan Bani Israil maka perincian kepada syariat Islam seperti kefardhuan solat, puasa, zakat, haji, qisas, munakahat, muamalah, jenayah dan jihad menjadi fokus bahagian ini.
Setiap pensyariatan itu diserlahkan bukan sekadar dari perspektif feqah sahaja bahkan sebagai “moral training” yang mengandungi falsafah dan hikmah yang besar untuk dihayati oleh kepimpinan baharu Islam yang bermula dari Madinah tersebut.
Kepimpinan baharu Islam mesti menjaga “hablum min naas” (hubungan dengan manusia) dari sekecil-kecil kewajipan meninggalkan wasiat dan memuliakan wanita sehinggalah pada sebesar-besar urusan sosial, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa.
Dalam Bahagian A’: Iman lwn Kufur (Ayat 243-286)
Bahagian ini memperincikan segala prinsip asas kepimpinan Islam melalui kisah Thalut dan Jalut, motivasi infaq di jalan Allah, anasir-anasir yang membatalkan pahala infaq, bahaya riba dan kepentingan akauntabiliti dalam urusan muamalat kewangan. Keseriusan isu akauntabiliti ini terselah dengan lebih dari satu muka surat penuh mengenai kaedah berhutang sahaja (282-283).
Motivasi mewujudkan sifat akauntabiliti itu sendiri adalah dengan mempercayai kewujudan Hari Perhitungan dan proses hisab dari Allah yang akan berlaku (254). Terasnya Ayat Kursi (255) dengan segala sifat Allah yang berkenaan dengan Hari Kebangkitan. Kemudian didokong pula dengan kisah-kisah yang menegaskan kebenaran wujudnya hidup selepas mati melalui kisah Nabi Ibrahim as berdebat dengan Raja Namrud, kisah Nabi Uzair yang dimatikan selama 100 tahun dan kisah Nabi Ibrahim as dengan 4 ekor burung.
Surah ini berakhir dengan rumusan dan penegasan Allah kepada kepentingan iman di sebalik segala tindak tanduk kepimpinan Islam di Madinah serta motivasi dari Allah di sebalik pelbagai bebanan syariat yang telah dinyatakan sepanjang surah ini (284-286).
Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/2016/07/07/di-sebalik-al-imran/
Heavenly Order: https://heavenlyorder.substack.com/p/surah-al-baqarah-part-3?s=r