Muqaddimah-Sad

Surah Sad

Surah Sad


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:38
Juz:23
Jumlah Ayat:88
Maksud Surah:Sad

Intisari Surah

Surah ini dinamakan dengan Sad kerana dimulai dengan huruf Sad.

Surah ini membicarakan tentang keimanan kepada Allah Swt dan keesaan-Nya serta kebenaran kerasulan Nabi Muhammad saw.

Diselangi kisah teladan para Rasul seperti Nabi Daud as (mengenai keadilan dan kekuasaan), Nabi Sulaiman as (pengujian dengan kuda dan penyesalan) dan Nabi Ayyub as (kesabaran luar biasa menghadapi penyakit).

Surah ini juga mengkritik kesombongan kaum musyrik, menjelaskan pertentangan penghuni syurga dan neraka serta menggariskan janji ganjaran bagi orang beriman dan azab bagi pendusta.

Pada ayat ke 24 terdapat ayat sajdah.

Isi Utama Surah

▪️   Keesaan Allah Swt dan Wahyu – Menegaskan bahawa Al-Quran adalah wahyu dari Allah untuk memberi peringatan dan membuktikan kebenaran Nabi Muhammad saw melalui wahyu yang diterima.

▪️   Pengingkaran kaum kafir Quraisy – Mereka menganggap ajaran tauhid itu pelik dan menuduh Rasulullah saw sebagai tukang sihir sambil Allah mengingatkan tentang kebinasaan umat-umat terdahulu yang ingkar dan menegaskan bahawa Dia-lah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pemberi.

▪️   Kisah Nabi Daud as – Diberi kekuasaan dan keadilan tetapi tetap bersyukur dan bertaubat.

▪️   Kisah Nabi Sulaiman as – Diuji dengan nikmat kekuasaan dan kuda-kuda yang hebat tetapi menyesal kerana leka daripada mengingati Allah.

▪️   Kisah Nabi Ayyub as – Pengajaran tentang kesabaran yang luar biasa menghadapi penyakit yang teruk tetapi tetap kembali kepada Allah dan tidak mempersoalkan musibah.

▪️   Penghuni Syurga dan Neraka – Menggambarkan pertelingkahan antara orang sesat dan pengikut mereka di neraka serta nikmat syurga bagi orang yang taat.

▪️   Kisah Nabi Adam as dan Kesombongan Iblis – Mengulang kisah iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam as kerana sombong, menjadi pengajaran agar tidak terpedaya dengan hawa nafsu dan keangkuhan.

▪️   Peringatan dan Iktibar – Menggesa manusia untuk berfikir dan mengambil iktibar daripada kejadian alam semesta kerana Al-Quran diturunkan sebagai peringatan besar untuk semua makhluk.