
Surah Ghafir
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 40 |
| Juz: | 24 |
| Jumlah Ayat: | 85 |
| Maksud Surah: | Yang Mengampuni |
| Nama Lain: | Al-Mu’min (Orang yang Beriman) |
Intisari Surah
Surah ini dikenali dengan nama Ghafir yang diambil dari ayat ke-3 di mana surah ini diawali dengan keterangan bahawa Al-Quran diturunkan oleh Allah Swt Yang Maha Pengampun dan Penerima Taubat. Al-Ghafir merupakan salah satu sifat Allah Swt dan Asma-ul-Husna.
Surah ini juga dikenali sebagai Al-Mu’min kerana di dalamnya mengisahkan seorang mukmin daripada keluarga Firaun pada ayat 28. Dia menyembunyikan keimanannya sehingga suatu hari dia menerima dakwah Nabi Musa as dan membelanya.
Surah ini menekankan tauhid, keampunan Allah Swt dan kisah Nabi Musa as menentang Firaun. Ia memberi amaran keras tentang azab bagi orang kafir yang sombong sambil menegaskan bahawa kebangkitan dan pembalasan pada Hari Akhirat adalah pasti.
Surah ini juga menekankan bahawa kejayaan sejati bukan pada kekuatan fizikal atau harta, melainkan pada ketaatan kepada Allah Swt serta memperingatkan manusia agar tidak sombong dalam berdoa dan beribadah.
Isi Kandungan Surah
Keampunan dan Kekuasaan Allah Swt: Allah memperkenalkan diri-Nya sebagai yang Maha Pengampun, Penerima Taubat dan Keras Azab-Nya serta Pemilik segala kurniaan.
Kisah Nabi Musa as dan Firaun: Fokus pada penentangan Firaun, Haman dan Qarun terhadap dakwah Nabi Musa as mengenai tauhid dan akhirat.
Kisah Mukmin Keluarga Firaun: Seorang lelaki mukmin yang menyembunyikan keimanannya kemudian tampil membela Nabi Musa as dan menasihati kaumnya agar tidak menolak kebenaran.
Azab Kubur dan Akhirat: Ayat 46 menjelaskan tentang siksaan kubur bagi pengikut Firaun manakala ayat 16-17 menekankan bahawa pada Hari Kiamat semua amal akan dihisab dengan adil.
Perintah Berdoa dan Bersabar: Umat Islam diperintahkan untuk bersabar atas dakwah, berserah diri kepada Allah dan yakin bahawa kebenaran akan menang.