Muqaddimah-Fatir

Surah Fatir

Surah Fatir


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:35
Juz:22
Jumlah Ayat:45
Maksud Surah:Pencipta

Intisari Surah

Fatir ertinya Pencipta diambil daripada ayat pertama surah ini. Fatir menerangkan bahawa Allah Swt adalah pencipta langit dan bumi, manusia dan makhluk lainnya.

Pada mulanya ditegaskan kekuasaan Allah Swt menciptakan sekalian makhluk-Nya, dan menegaskan bahawa apa jua jenis rahmat yang diberikan-Nya kepada umat manusia maka tidak sesuatu pun yang dapat menahannya (terhadap rahmat itu), demikian juga sebaliknya.

Kemudian diperingatkan umat manusia supaya janganlah mereka terpedaya terhadap kemewahan hidup di dunia, dan janganlah pula mereka diperdayai oleh syaitan yang menjadi musuh dan mesti dijauhi akan tipu dayanya.

Kemudian Allah Taala menerangkan bahawa Dia menjadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang diplih-Nya dari kalangan hamba-hamba-Nya, maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri yakni dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran dan ada yang bersikap sederhana serta ada pula yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.

Setelah itu, dikemukakan Allah Swt satu lagi pertanyaan yang berupa amaran kepada golongan yang masih berdegil (meneruskan) dalam kengkaran dan kekufuran mereka terhadap Allah, “Bukankah mereka pernah mengembara di muka bumi dan menyaksikan bagaimana kesudahan kaum-kaum kafir yang telah lalu zamannya?”

Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa kalaulah Allah Swt mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang telah mereka kerjakan, tentulah Dia tidak akan membiarkan mereka tinggal di atas muka bumi ini untuk sesuatu makhluk pun,akan tetapi Allah tidak berbuat demikian, bahkan dia memberi tempoh kepada mereka tinggal diatas muka bumi ini hingga suatu masa tertentu (tujuannya supaya orang-orang yang ingkar dapat kembali insaf dan bertaubat dan orang-orang yang berdegil akan ditambah azabnya). Kemudian apabila sampai tempoh mereka, maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaan sekalian hamba-Nya.