Muqaddimah-Asy-Syura

Surah Asy-Syura

Surah Asy-Syura


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:42
Juzuk:25
Jumlah Ayat:53
Maksud Surah:Mesyuarat

Intisari Surah

Surah ini dinamakan Asy-Syura yang diambil daripada perkataan Syura yang terdapat pada ayat 38 pada surah ini. Dalam ayat tersebut ada diterangkan bahawa antara sifat orang-orang yang beriman, terpuji dan diredhai Allah Swt ialah amalan mereka bermesyuarat sesama sendiri apabila mereka hendak menjalankan sesuatu urusan.

Pada awal surah ini Allah Swt menegaskan kebenaran wahyu al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad saw, dan menyatakan bahawa apa yang diwahyukan kepada Baginda mengenai perkara-perkara asas dalam Islam seperti tauhid, Hari Kiamat dan balasan amal adalah sama seperti yang telah diwahyukan kepada para Rasul yang terdahulu.

Kemudian ditegaskan bahawa agama yang diredhai Allah Swt bagi umat manusia seluruhnya ialah agama Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw dan Nabi-nabi yang sebelumnya. Lalu diperintahkan supaya orang-orang yang beriman menegakkan hukum-hakam Islam dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kemudian diterangkan bahawa apa jua yang menimpa manusia dari sesuatu kesusahan atau bala bencana, maka itu adalah disebabkan oleh apa yang mereka lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa dan dalam masa itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa mereka. Setelah itu diterangkan: Jika sesiapa hendak membalas, maka balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya serta sesiapa memaafkan kejahatan orang dan berbuat baik kepadanya maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah Swt dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya.