Muqaddimah-An-Naba’

Surah An-Naba'

Surah An-Naba’


Klasifikasi Surah:Makkiyyah
Surah:78
Juzuk:30
Jumlah Ayat:40
Maksud Surah:Berita

Intisari Surah

Surah ini dinamakan An-Naba’ yang bererti ‘Berita’ diambil daripada perkataan An-Naba’ (ٱلنَّبَإِ) yang terdapat pada ayat 2 surah ini.

Surah ini memfokuskan kepada kepastian Hari Kiamat, bukti kekuasaan Allah Swt melalui penciptaan alam semesta, dan balasan yang setimpal untuk golongan yang bertakwa dan derhaka.

Isi Kandungan Utama

Pertanyaan tentang Berita Besar (ayat 1-5): Golongan musyrik Quraisy saling bertanya-tanya mengenai berita besar iaitu Hari Kiamat dan kebangkitan, yang sebenarnya pasti berlaku.

Bukti Kekuasaan Allah Swt (ayat 6-16): Allah mengemukakan bukti ciptaan-Nya yang kukuh seperti bumi sebagai hamparan, gunung-ganang sebagai pasak, penciptaan manusia berpasang-pasangan, tidur untuk berehat, siang untuk mencari rezeki dan hujan yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan subur.

Peristiwa Hari Kiamat (ayat 17-20): Penjelasan tentang Hari Keputusan yang ditetapkan masa berlakunya ketika sangkakala ditiup.

Balasan Neraka Jahannam (ayat 21-30): Neraka Jahannam disediakan sebagai tempat tinggal orang-orang yang melampaui batas dan mendustakan ayat-ayat Allah, di mana mereka kekal di dalamnya.

Balasan Syurga (ayat 31-36): Ganjaran kejayaan dan kemenangan (mufaza) bagi orang-orang bertakwa berupa kebun-kebun yang hijau, buah-buahan, pasangan sebaya dan curahan nikmat daripada Tuhan Yang Maha Pemurah.

Penyesalan Manusia di Akhirat (ayat 37-40): Peringatan bahawa pada Hari Kiamat, manusia akan melihat segala amal perbuatan mereka dan berkata dengan penuh penyesalan “Alangkah baiknya jika aku dahulu menjadi tanah.”