
Surah Al-Mu’minun
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 23 |
| Juzuk: | 18 |
| Jumlah Ayat: | 118 |
| Maksud Surah: | Golongan Beriman |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Mu’minun kerana ia dibuka dengan ayat قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ. Kemudian diteruskan dengan ayat-ayat tentang sifat-sifat orang mukmin dan balasan pahala yang besar buat mereka di akhirat kelak iaitu memiliki Syurga Firdaus.
Surah ini mendidik manusia mengenai Hari Kebangkitan melalui pendekatan:
▪️ Semasa (penciptaan manusia dan alam).
▪️ Sebelum (sejarah kaum terdahulu yang mendustakan Rasul).
▪️ Kemudian (gambaran Hari Kebangkitan).
Di permulaan surah: Cerita mengenai mereka yang berjaya (orang beriman).
Di penghujung surah: Cerita mengenai mereka yang tidak berjaya (orang yang tidak beriman).
Surah ini juga menyebut bagaimana untuk mengenal hati yang baik dan amalan yang dilakukan adalah ikhlas iaitu apabila mendengar ayat-ayat Allah Swt hati menjadi gentar dan terus melaksanakan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.
Isi Kandungan Utama
Ciri-Ciri Orang Mukmin Berjaya (ayat 1-11): Menggariskan sifat utama hamba Allah yang beruntung, iaitu khusyuk dalam solat, menjauhkan diri daripada perbuatan atau perkataan yang sia-sia, menunaikan zakat, menjaga kehormatan diri (kemaluan) kecuali kepada pasangan yang sah, serta memelihara amanah, janji dan waktu solat. Balasan bagi mereka ialah Syurga Firdaus tempat mereka kekal abadi.
Proses Kejadian Manusia: Menjelaskan kekuasaan Allah Swt melalui fasa kejadian manusia daripada setitis air benih hinggalah menjadi makhluk yang sempurna.
Kisah Para Nabi: Memuatkan sejarah perjuangan para rasul terdahulu seperti Nabi Nuh as, Nabi Hud as, Nabi Musa as dan Nabi Isa as sebagai teladan dan pengajaran.
Peringatan Hari Kiamat: Menegaskan kepastian Hari Kebangkitan dan penyesalan orang kafir di akhirat yang meminta untuk kembali ke dunia tetapi ditolak.
Penutup & Tujuan Penciptaan: Memberikan dorongan dan kesabaran kepada Nabi Muhammad saw dan para mukmin, serta penegasan bahawa kehidupan di dunia bukanlah dicipta secara sia-sia tanpa ada Hari Pembalasan.
Kaitan dengan surah sebelumnya (Surah Al-Hajj):
Surah Al-Hajj berakhir dengan perintah ibadah dan berpegang pada tali Allah Swt maka surah Al-Mu’minun bermula dengan ganjaran yang akan diperolehi mereka iaitu Syurga Firdaus.
Status surah:
▪️ Surah ini mempunyai unsur Makkiyyah, turun pada fasa ke-3 di mana pertembungan Rasulullah saw dan Quraisy telah berlaku namun belum membawa kepada seksaan fizikal.
▪️ Ayat (75 – 76) memberikan isyarat surah ini turun semasa peristiwa kemarau panjang Mekah yang berlaku sekitar tahun 6 Hijrah.
Tema surah:
Menyeru Quraisy agar mengakui dan menerima risalah Rasulullah saw dan beriman dengan Hari Kebangkitan.
Segmentasi Surah


Rujukan dari blog Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/category/23-al-muminun/