
Surah Al-Hajj
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 22 |
| Juz: | 17 |
| Jumlah Ayat: | 78 |
| Maksud Surah: | Haji |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Hajj kerana mengambil perkataan Al-Hajj daripada ayat 27. Perintah kepada Nabi Ibrahim as itulah yang menyebabkan baginda berjuang lebih 20 tahun untuk membersihkan Masjidil Haram.
Sebahagian ayat daripada surah ini diturunkan di Mekah dan sebahagian lagi di Madinah, oleh itu para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai klasifikasi surah ini (Makkiyyah atau Madaniyyah).
Menurut Al-Azizi, Surah Al-Hajj ini boleh dikatakan surah yang agak unik kerana adakalanya diturunkan pada waktu malam dan ada kalanya pada siang hari. Ada diturunkan ketika Rasulullah saw dalam musafir dan dalam keadaan tidak musafir. Ada ayat-ayat yang diturunkan di Mekah dan ada pula yang diturunkan di Madinah. Ada diturunkan semasa peperangan dan dalam masa tidak berperang. Surah ini mengandungi ayat-ayat muhkamat (jelas maknanya) dan ada juga yang mutasyabihat (samar-samar maknanya).
Kaitan dengan surah sebelumnya (Surah Al-Anbiya’):
-
Surah Al-Anbiya’ berakhir dengan gambaran Kiamat dan dekatnya janji Allah Swt bahawa ianya akan berlaku manakala Surah Al-Hajj bermula dengan melengkapkan gambaran Kiamat.
-
Surah Al-Anbiya’ mengenai umat yang terdahulu manakala Surah Al-Hajj mengenai umat sekarang.
Status surah:
-
Kajian mendapati surah ini mempunyai unsur Makkiyyah dan Madaniyyah.
-
Ayat (1 – 24): Makkiyyah, turun di hujung perjuangan Rasulullah saw di Mekah menjelang Hijrah.
-
Ayat (25 – 78): Madaniyyah, bulan Zulhijjah tahun pertama baginda di Madinah, turun ketika para Muhajirin terkenangkan tanah air mereka di Mekah lebih-lebih lagi pada masa musim Haji lalu mereka menyatakan kesediaan mereka berperang demi mengambil semula keluarga, tanah dan kampung halaman mereka.
-
Ayat 39: Ayat pertama turun mengenai jihad dan kebenaran berperang.
-
Ayat sajdah berada pada ayat 18 dan 77.
Tema surah:
-
Dalam 13 tahun perjuangan Rasulullah saw, Musyrikin Quraisy masih memilih syirik. Allah Swt akan uruskan mereka di Hari Akhirat kelak.
-
Bagi para Ansar Madinah yang baru beriman, iman dan jihad tidak boleh dipisahkan, jangan hanya sekadar beriman yang tidak menyebabkan keberanian untuk mempertahankan Islam.
-
Bagi para Muhajirin, Masjidil Haram bukan milik Musyrikin Quraisy. Oleh itu, mereka tidak boleh menghalang mereka yang beriman dari Madinah untuk berkunjung ke sana. Ingat siapa yang bina Kaabah itu, adakah tujuan pembinaan itu ada kaitan dengan berhala-berhala yang dibina di sekeliling Kaabah
-
Para Muhajirin juga dibenarkan berjihad sekiranya ada halangan untuk menziarahi Masjidil Haram kerana orang Islam dan beriman yang selayaknya berkunjung ke sana.
Segmentasi Surah


Rujukan dari blog Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/category/22-al-hajj/