
Biografi Nabi Nuh ‘alaihis salam (as)
| Nama: | Nuh bin Lamik |
| Usia: | 950 tahun |
| Tempoh Sejarah: | 3993 – 3043 SM |
| Tempat Diutus: | Selatan Iraq |
| Jumlah Keturunan: | 4 lelaki ((Sam, Ham, Yafits dan Kan’an) |
| Tempat Wafat: | Mekah |
| Sebutan Kaumnya: | Kaum Nuh |
| Sebutan Namanya dalam Al-Quran: | 43 kali |
Nabi Nuh as adalah nabi ketiga yang wajib diketahui oleh umat Islam, merupakan rasul pertama yang diutuskan kepada penduduk bumi yang menyekutukan Allah Swt dan rasul pertama mendapat gelaran Ulul ‘Azmi. Nama penuh baginda ialah Nuh bin Lamik bin Matusyalikh bin Khanukh (nama lain bagi Nabi Idris as). Baginda adalah keturunan kesembilan dari Nabi Adam as. Baginda hidup selama kira-kira 950 tahun. Mukjizat utama baginda adalah membina bahtera (kapal) besar yang menyelamatkan orang beriman dan haiwan daripada banjir besar.
Bermulanya Penyembahan Berhala
Beberapa tahun setelah kewafatan Nabi Idris as, banyak perubahan di muka bumi dan bertepatan dengan fitrah umat manusia itu sendiri, terjadilah kealpaan umat manusia akan wasiat Nabi Idris as. Kesalahan yang dahulu kini kembali berulang kerana terpengaruh dengan bisikan syaitan.
Sebelum lahirnya Nabi Nuh as, telah hidup lima orang soleh daripada kalangan datuk kaum Nabi Nuh as. Mereka hidup selama beberapa zaman kemudian mereka mati. Nama-nama mereka adalah Wadd, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr, sepertimana dalam firman Allah Swt:
Dan mereka berkata, “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan jangan pula Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr.”
Nuh 71:23
Setelah kematian mereka, syaitan membisikkan kepada kaum Nabi Nuh as agar membuatkan patung-patung di tempat-tempat mereka beribadah dan menamakan patung-patung itu dengan nama-nama orang soleh tersebut sebagai menghormati mereka dan mengubati kenangan terhadap mereka. Mereka pun melakukan seperti yang dibisikkan itu. Patung-patung itu pada mulanya tidak disembah, namun ketika generasi mereka telah tiada dan setelah ilmu terkikis daripada mereka, maka mulailah patung-patung itu disembah dan dipuja.
Dalam situasi ini, Allah Swt mengutus Nabi Nuh as agar menyeru kaumnya beribadah hanya kepada-Nya dan tidak menyembah selain-Nya.
Dakwah Nabi Nuh as kepada Kaumnya
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, “Wahai kaumku, beribadahlah kepada Allah, (kerana) sekali-kali tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”
Al-Mu’minun 23:23
Nabi Nuh as menjelaskan kepada kaumnya bahawa mustahil terdapat tuhan selain Allah Yang Maha Esa sebagai Pencipta Segala-galanya. Baginda memberikan pengingatan kepada mereka, bahawa tipu daya syaitan terhadap dunia telah lama menghasut mereka untuk melakukan syirik dan perbuatan khurafat dan telah tiba waktunya untuk menghentikan amalan ini. Nabi Nuh as menyampaikan kepada mereka bahawa Allah Swt telah memuliakan manusia: Dia telah menciptakan mereka, memberi mereka rezeki dan menganugerah akal dan tubuh yang sihat kepada mereka.
Walaupun Nabi Nuh as begitu bersungguh-sungguh dalam berdakwah kepada kaumnya tanpa pernah berhenti baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam demi mentaati perintah-Nya dan mencari keredhaan-Nya, ternyata hanyalah sedikit daripada kaumnya yang menerima dakwahnya. Menurut sesetengah riwayat tidak melebihi bilangan seratus orang iaitu 80 orang sahaja pengikutnya. Mereka pun terdiri daripada orang-orang miskin yang berkedudukan lemah dalam kaum tersebut.
Sedangkan orang yang kaya-raya, berkedudukan tinggi dan terkenal dalam masyarakat, yang merupakan pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin tetap membangkang, tidak mempercayai dan mengingkari Nabi Nuh as dan sesekali tidak mahu meninggalkan kepercayaan mereka terhadap berhala-berhala mereka, sepertimana dalam firman-Nya:
Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya, “Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti kami dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina-dina di antara kami yang cepat percaya sahaja dan kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun atas kami, bahkan kami yakin bahawa kamu adalah orang-orang yang dusta.”
Hud 11:27
Apabila pemimpin-pemimpin kafir itu mendapati Nabi Nuh as tidak juga berhenti dan tidak berputus asa daripada berdakwah, malahan tidak mahu mengikut kehendak mereka, maka mereka meminta baginda mendatangkan azab sekiranya baginda adalah orang yang benar. Lalu baginda mengatakan bahawa sesungguhnya yang paling layak menyeksa mereka dan menyegerakan seksaan tersebut hanyalah Allah Swt. Apabila Dia menghendaki perkara itu berlaku, mereka pasti tidak akan mampu untuk mengelaknya.
Nabi Nuh as Mengadu kepada Allah Swt Berkenaan dengan Keingkaran Kaumnya
Nabi Nuh as menghadapi kaumnya dalam masa yang cukup lama, iaitu selama 950 tahun untuk menyampaikan risalah Tuhan, mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala dan kembali menyembah Allah Swt. Baginda memimpin mereka keluar dari jalan yang membawa kepada kesesatan ke jalan yang benar, terang dan lurus mengajarkan mereka hukum-hukum syariat dan agama yang diwahyukan oleh Allah kepadanya.
Akan tetapi dalam waktu yang cukup lama itu, Nabi Nuh as tidak berhasil menyedarkan dan menarik kaumnya untuk mengikut dan menerima dakwahnya. Setiap kali baginda menyeru kaumnya agar beriman kepada Allah Swt bagi mendapatkan keampunan-Nya, mereka menutup telinga agar tidak mendengar apa yang baginda sampaikan.
Nabi Nuh as mengadu kepada Allah Swt bahawa kaumnya menderhakainya tentang seruannya agar mereka taat kepada perintah-Nya. Mereka hanya mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin mereka yang menghalang mereka daripada terpengaruh dengan risalah yang dibawa oleh baginda dan memujuk kaumnya agar tidak meninggalkan sembahan-sembahan mereka.
Lalu Nabi Nuh as berdoa untuk kemusnahan kaumnya yang sesat seperti firman Allah Swt yang bermaksud:
Nuh berkata, “Wahai Rabbku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.
Nuh 71:26-27
Baginda juga memohon kepada Allah Swt agar menyelamatkan baginda dan pengikut-pengikutnya yang beriman daripada azab-Nya.
Nabi Nuh as Membuat Sebuah Bahtera
Dan diwahyukan kepada Nuh, bahawasanya sekali-kali tidak akan beriman di antara kaummu, kecuali orang yang telah sedia beriman, oleh itu janganlah kamu bersedih hati tentang apa yang selalu mereka kerjakan. Dan binalah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim itu, sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.
Hud 11:36-37
Allah Ta’ala telah mengabulkan doa Nabi Nuh as dan Dia mewahyukan kepada baginda agar membina sebuah bahtera iaitu sebuah kapal yang besar dengan pembuatan yang kuat dan kukuh dengan bimbingan-Nya.
Setelah menerima perintah Allah Swt itu, Nabi Nuh as mulai membuat bahtera tersebut. Setiap kali para pemimpin kaumnya berjalan melintasi tempatnya, mereka mengejeknya dan mereka pun mendustakan apa yang telah diancamkan kepada mereka iaitu mereka akan ditenggelamkan.
Nabi Nuh as mengatakan kepada kaumnya yang kafir itu sekiranya mereka mengejek apa yang sedang baginda bina yang dalam pandangan mereka tidak berguna sama sekali, kelak baginda dan pengikut-pengikutnya yang beriman pula akan mengejek mereka saat mereka ditenggelamkan nanti.
Setelah siap pembinaan bahtera tersebut Nabi Nuh as menerima wahyu berikut:
Hingga apabila perintah Kami datang dan dapur (tannur) telah memancarkan air, Kami berfirman, “Muatkanlah ke dalam bahtera itu daripada tiap-tiap jenis binatang sepasang (jantan dan betina) dan keluargamu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab terhadapnya dan (muatkan pula) orang-orang yang beriman.” Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya melainkan sedikit sahaja.
Hud 11:40
Ketika ada tanda-tanda hampirnya waktu mereka akan ditenggelamkan iaitu hujan turun tidak berhenti-henti, Allah Swt memerintahkan Nabi Nuh as membawa ahli keluarganya dan kaumnya yang beriman serta sepasang daripada setiap jenis haiwan ke atas bahtera yang telah siap dibinanya.
Berlakunya Banjir Besar
Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi banjir besar melanda seluruh kota menggenangi daratan yang rendah mahupun yang tinggi sampai mencapai puncak bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung kecuali bahtera Nabi Nuh as yang telah berisi penuh dengan para orang beriman dan pasangan makhluk yang diselamatkan oleh baginda atas dasar perintah Allah.
Dengan iringan nama Allah “Bismillahi majréha wa mursaha” berlayarlah bahtera Nabi Nuh as dengan lajunya menyusuri lautan, melawan angin yang kadangkala lemah dan kadang kala laju dan ribut. Di kanan dan kiri kapal terlihatlah orang-orang kafir yang sedang bergelut melawan gelombang air yang semakin melimpah dan berusaha menyelamat diri dari azab Allah yang sudah bersiap-sedia untuk menenggelam mereka.
Tatkala Nabi Nuh as melihat-lihat orang-orang kafir dari kaumnya sedang bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba terlihatlah olehnya tubuh anaknya timbul tenggelam dipermainkan oleh gelombang air. Pada saat itu, baginda diselimuti perasaan kasihan dan kasih-sayang seorang bapa kepada anaknya. Baginda memanggil anaknya yang tidak mahu beriman itu supaya sama-sama menaiki bahtera tersebut agar anaknya itu tidak tenggelam sebagaimana orang-orang kafir yang lain yang ditenggelamkan.
Kemudian anak Nabi Nuh as yang derhaka itu menjawab bahawa dia akan mencari perlindungan dan pergi ke sebuah gunung yang dapat menjaganya daripada tenggelam. Lalu baginda menjawab bahawa pada hari itu tiada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan daripada azab Allah Ta’ala kecuali orang-orang yang memperolehi rahmat dan keampunan-Nya. Kemudian air itu terus meninggi, menjadi penghalang antara Nabi Nuh as dan anaknya, dan anaknya itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan dan dibinasakan.
Banjir Mulai Surut
Dan Allah berfirman, “Wahai bumi, telanlah airmu, dan wahai langit (hujan) berhentilah,” dan air pun surut, perintah pun diselesaikan dan bahtera itu pun berlabuh di atas bukit Judiy, dan dikatakan, “Binasalah orang-orang yang zalim.”
Hud 11:44
Ketika seluruh penduduk bumi ditenggelamkan kecuali orang-orang yang berada di atas bahtera, Allah Ta’ala memerintahkan bumi supaya menelan semua air di atasnya dan Dia juga memerintahkan langit berhenti daripada menurunkan hujan, lalu air pun menjadi surut.
Allah Ta’ala telah memenuhi janji-Nya kepada Nabi Nuh as dengan membinasakan kaumnya yang zalim dan kufur dan tiada siapa yang tertinggal kerana kezaliman dan kekufuran mereka. Kemudian bahtera itu berlabuh di Gunung Judiy yang terletak di Semenanjung Arab.