Biografi-Idris

Biografi Nabi Idris ‘alaihis salam (as)

Nama:Idris/Khanukh bin Yarid
Usia:345 tahun di bumi
Tempoh Sejarah:4533 – 4188 SM
Tempat Diutus:Iraq (Babylon) dan Mesir (Memphis)
Tempat Wafat:Allah Swt mengangkatnya ke langit
Sebutan Namanya dalam Al-Quran:2 kali

Nabi Idris as ialah salah seorang nabi yang diturunkan oleh Allah Swt untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Nabi Idris as merupakan nabi kedua daripada 25 rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam.

Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Idris as mempunyai paras rupa yang menarik, susuk tubuh tegap, tinggi, berjanggut lebat dan bersifat pendiam.

Sebutan Nabi Idris as di dalam Al-Quran

Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab sejarah nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua surah tentang Nabi Idris as.

Dalam Surah Maryam, Allah Swt berfirman:

Allah Ta’ala menyebut tentang Nabi Idris as dengan memujinya bahawa baginda adalah seorang yang benar-benar tepat dan jujur dalam segala perkataan serta perbuatannya. Dia telah mengangkat namanya di tengah seluruh makhluk dan kedudukannya di antara orang-orang yang dekat dengan Allah Swt. Maka baginda adalah seorang yang namanya ditinggikan penyebutannya dan kedudukannya tinggi.

Kemudian dalam Surah Al-Anbiya’, Nabi Idris as dipuji sekali lagi:

Kisah Nabi Idris as

Nabi Idris merupakan keturunan keenam dari Nabi Adam as, putera dari Yarid bin Mihla’iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam. Menurut riwayat Nabi Idris as bermukim di Mesir. Baginda berdakwah di sana mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamatkan diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Baginda hidup sampai usia 345 tahun.

Nabi Idris dianugerahkan kepandaian di dalam pelbagai disiplin ilmu kemahiran serta mencipta peralatan yang digunakan manusia sekarang ini seperti penulisan, matematik, astronomi dan lain-lain lagi. Menurut sebuah kisah, terdapat satu masa kebanyakan manusia telah melupakan tuhan dan bumi telah dihukum dengan kemarau. Walau bagaimanapun, Nabi Idris as telah berdoa ke hadrat Allah Swt dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan turunnya hujan.

Syariat yang dibawa ialah jihad iaitu memerangi Pengikut Qabil (anak Nabi Adam as) yang melakukan kerosakan di muka bumi pada waktu itu. Baginda ialah pelopor kepada jihad, mengerakan pasukan tentera berkuda dan ada yang berjalan kaki. Allah Swt memberi kemenangan kepada Baginda.

Menurut sebuah buku The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris ialah nama Arab bagi Enoch/Khanukh. Baginda dinyatakan di dalam al-Quran sebagai manusia yang dipilih oleh Allah Swt sehingga baginda diangkat ke langit.


Rujukan: https://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Idris