Biografi-Hud

Biografi Nabi Hud

Biografi Nabi Hud ‘alaihis salam (as)

Nama:Hud bin Abdullah
Usia:130 tahun
Tempoh Sejarah:2450 – 2320 SM
Tempat Diutus:Al-Ahqaf (antara Yaman dan Oman)
Tempat Wafat:Hadramaut, Yaman
Sebutan Kaumnya:Kaum ‘Aad
Sebutan Namanya dalam Al-Quran:7 kali

Nabi Hud as adalah salah seorang daripada 25 nabi yang wajib diketahui dan rasul utusan Allah Swt untuk berdakwah kepada kaum ‘Aad yang menyembah berhala. Baginda merupakan keturunan Nabi Nuh as (dari garis keturunan Sam bin Nuh). Baginda lahir dan tinggal di daerah Al-Ahqaf, sebuah wilayah berbukit pasir yang subur yang kini berada di kawasan antara Yaman dan Oman.

Nabi Hud as Berdakwah kepada Kaum ‘Aad

Kaum ‘Aad adalah bangsa yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan mempunyai kemampuan membina bangunan megah dan kukuh. Mereka dikurniakan dengan tanaman yang subur, binatang ternakan dengan sumber air yang banyak. Mereka menyembah berhala-berhala dan merupakan kaum yang pertama menyembah berhala setelah banjir besar yang berlaku pada zaman Nabi Nuh as. Mereka sangat sombong dan berbangga dengan kekuatan yang dianugerahkan kepada mereka tanpa memperhatikan bahawa Allah Ta’ala Yang Maha Pencipta telah menciptakan mereka, sepertimana dalam firman-Nya:

“Adapun kaum ‘Aad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata, “Siapakah yang lebih besar kekuatannya daripada kami?” Dan apakah mereka itu tidak memperhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatannya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan) Kami.”

Fussilat 41:15

Lalu Allah Swt mengutus Nabi Hud as daripada kalangan mereka sendiri dan memerintahkan kepadanya untuk menyeru kaumnya supaya menyembah-Nya, Rabb Yang Maha Esa dan meninggalkan segala sesuatu selain-Nya. Oleh itu, Nabi Hud as menyeru kaumnya supaya bertakwa kepada Allah Ta’ala dan meninggalkan segala yang dimurkai-Nya untuk menghindarkan diri daripada seksaan-Nya. Firman-Nya:

Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum ‘Aad saudara mereka, Hud. Dia (Hud) berkata, “Wahai kaumku, beribadahlah kepada Allah, sekali-kali tidak ada Ilah (yang hak) bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?”

Al-‘Araf 7:65

Meskipun Nabi Hud as telah memberikan dakwahnya dengan sabar, kebanyakan kaum ‘Aad menolak ajaran baginda. Mereka tetap menyembah berhala dan menolak untuk beriman kepada Allah Swt. Para pembesar kaumnya menentang kerasulan baginda. Mereka bukan sahaja menolak seruannya malahan mereka menegaskan bahawa mereka berada dalam agama yang benar dan mereka memandang baginda berada dalam kesesatan disebabkan baginda meninggalkan agama mereka dan menghina orang-orang yang terkemuka di kalangan kaumnya yang mereka anggap suci.

Nabi Hud as menjawab tuduhan daripada pemimpin kaum ‘Aad tersebut bahawa baginda bukanlah kurang waras ataupun bodoh. Sebaliknya sebenarnya merekalah yang kurang waras (bodoh) kerana menyembah sesuatu yang tidak dapat memberikan apa-apa manfaat berupa batu, bahkan yang disembah itu lebih lemah daripada penyembahnya.

Nabi Hud as juga mengingatkan kaumnya akan nikmat-nikmat daripada Allah Ta’ala dengan menjadikan mereka satu kaum yang bertubuh tegap, perkasa, lebih tinggi dan kuat daripada kaum yang lain.

Mereka berkata, “Apakah kamu datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah sahaja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh bapa-bapa kami? Maka datangkanlah azab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”

Al-‘Araf 7:70

Kaum ‘Aad mengingkari dan menjawab dengan sombong seperti dalam ayat di atas. Mereka bukan sahaja menyombongkan diri terhadap peringatan daripada Nabi Hud as, malah mereka berlebih-lebihan dalam kebodohan dan penentangan iaitu mereka meminta diturunkan seksaan kepada mereka dan dipercepatkan penurunan azab.

Nabi Hud as memberikan ancaman kepada mereka agar menunggu sehingga turunnya azab yang pedih daripada Allah Ta’ala sebagaimana yang mereka minta.

Pembalasan Azab ke atas Kaum ‘Aad

Maka Kami selamatkan dia (Hud) dan orang-orang yang bersama-samanya, dengan rahmat daripada Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

Al-‘Araf 7:72

Setelah kaum ‘Aad menentang dan menuntut azab yang dijanjikan, maka datanglah azab Allah Ta’ala menimpa mereka dan Dia telah menyelamatkan Nabi Hud as dan orang-orang yang beriman bersama-samanya daripada azab tersebut.

Mula-mula Allah mengirimkan kemarau panjang yang menyebabkan sungai-sungai menjadi kering dan tanam-tanaman mati. Namun mereka masih tidak mahu bertaubat. Kemudian datang awan yang besar. Ketika mereka melihatnya, mereka bergembira dan mengira bahawa mereka akan diberikan curahan hujan. Tetapi rupanya awan hitam yang besar itu membawa angin yang sangat dahsyat yang membinasakan mereka. Mereka dilenyapkan daripada muka bumi ini dengan angin yang menghancurkan segala sesuatu sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

“Adapun kaum ‘Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).”

Al-Haqqah 69:6-7

Setelah kehancuran kaum ‘Aad, Nabi Hud as bersama pengikutnya berpindah ke wilayah Hadramaut, Yaman. Baginda hidup hingga wafat di sana. Menurut sebahagian riwayat, makam Nabi Hud as terletak di kawasan tersebut dan hingga kini menjadi tempat yang dihormati.