بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِيهِ ٱخْتِلَـٰفًا كَثِيرًا
Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.
An-Nisa’ 4:82
Apabila saya mendengar ayat di atas membuat saya terfikir. Amat malu rasanya apabila saya berdiri di hadapan Allah Swt nanti saya tidak memahami kitab-Nya sedangkan Allah Swt telah memberi banyak sangat nikmat dan rezeki kepada saya: nikmat akal, penglihatan, pendengaran, masa, kewangan dan lain-lain. Kalau saya boleh mempelajari buku-buku pengajian saya dalam bidang IT dan pengurusan projek, kenapa saya tidak boleh mempelajari SATU kitab-Nya ini. Lebih-lebih lagi kitab inilah yang dapat menjamin kehidupan saya di dunia dan di akhirat.
Alhamdulillah, dengan hidayah dan taufik-Nya, saya berusaha mempelajari Al-Quran dan membangunkan laman web ini sekadar berkongsi ilmu daripada ilmu yang saya perolehi melalui pengajian-pengajian saya.
AlQuranIlm.com yang bertemakan Al-Quran disusun dalam bentuk kategori-kategori berikut: Surah, ayat-ayat berlandaskan Tauhid dan Akidah, Hukum dan Syariat, Kisah dalam Al-Quran dan Akhlak. Tujuan saya menyusunnya begini supaya pembaca termasuk diri saya dapat memahami dengan mudah dan dapat menggunakannya sebagai rujukan atau manual. Sebagai contoh, sekiranya kita ingin mengetahui ayat-ayat mana yang menerangkan tentang perintah solat, kita boleh merujuk topik “Solat” dalam kategori Hukum dan Syariat.
Penjelasan bagi setiap ayat saya rujuk dari Penghuraian Ayat Al-Muttaqin Quran Daily di mana huraiannya adalah rujukan daripada Kitab Tafsir Ibnu Kathir dan juga beberapa kitab lain seperti Al-Furqan, Al-Munir, Al-Aisar dan Al-Muyassar. Selain itu, terdapat lagi sumber-sumber rujukan saya yang saya senaraikan dalam bahagian Rujukan.
Akhir kata, saya berharap agar Allah Swt mempermudahkan segala usaha kita dalam memahami ayat-ayat-Nya dengan istiqamah dan semoga kita dapat beramal dengannya serta memperolehi keredhaan-Nya.. Aamiin