Al-Quran Merupakan Petunjuk kepada Orang yang Berbuat Kebaikan
Surah 31: Luqman (1 – 5)
Ayat 1
الٓمٓ
Alif Lam Mim.
Ayat 2
تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ
Inilah ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi hikmah.
Ayat 3
هُدًى وَرَحْمَةً لِّلْمُحْسِنِينَ
Menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
Dalam ayat 2-3 ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa ini adalah ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi hikmah dan pelajaran yang tidak bertentangan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Dia menurunkannya sebagai petunjuk dan rahmat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan, iaitu mereka yang sentiasa beramal soleh dengan ikhlas.
Ayat 4
ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Iaitu orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka meyakini adanya negeri akhirat.
Ayat 5
أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Merekalah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk daripada Rabb mereka dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Orang-orang yang berbuat kebaikan itu ialah orang-orang yang melaksanakan solat secara istiqamah dan sempurna mengikut syarat-syarat dan rukun-rukunnya serta menunaikan zakat sebagai bukti penglibatan mereka dalam masyarakat. Selain itu, mereka tidak sedikit pun meragui adanya negeri akhirat. Merekalah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala dan akan memperoleh keuntungan hakiki, iaitu selamat daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya Hari Akhirat. Merekalah yang mendapat petunjuk daripada Rabb mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”
Al-Baqarah 2:3-5