Kebodohan Orang Kafir di Dunia dan di Akhirat
Surah 30: Ar-Rum (55 – 57)
Ayat 55
وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يُقْسِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا۟ غَيْرَ سَاعَةٍ ۚ كَذَٰلِكَ كَانُوا۟ يُؤْفَكُونَ
Dan pada hari (ketika) terjadinya kiamat, orang-orang yang berdosa bersumpah bahawa mereka tinggal (dalam kubur) hanya sesaat (sahaja). Seperti itulah dahulu mereka dipalingkan (daripada kebenaran).
Allah Ta’ala menjelaskan kebodohan orang-orang kafir yang bersumpah di hadapan-Nya bahawa mereka tinggal di dunia hanya sekejap sahaja. Mereka memberikan alasan bahawa mereka tidak ditegakkan hujjah dan diberikan kesempatan yang banyak di dunia dengan harapan mereka akan dimaafkan.
Maksud ayat, “Seperti itulah dahulu mereka dipalingkan (daripada kebenaran),” ialah semasa mereka berada di dunia dahulu mereka mendustakan kebenaran yang dibawa oleh para Rasul. Kemudian di akhirat juga mereka dipalingkan daripada perkara sebenar tentang berapa lama mereka berada di dalam kubur. Berpalingnya mereka daripada kebenaran ini adalah berpunca daripada diri mereka sendiri iaitu disebabkan perbuatan syirik dan maksiat yang mereka lakukan.
Ayat 56
وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَٱلْإِيمَـٰنَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْبَعْثِ ۖ فَهَـٰذَا يَوْمُ ٱلْبَعْثِ وَلَـٰكِنَّكُمْ كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Dan berkatalah orang-orang yang diberi ilmu dan keimanan (kepada orang-orang kafir), “Sesungguhnya kamu telah tinggal (dalam kubur) menurut ketetapan Allah, sehingga Hari Kebangkitan. Maka inilah Hari Kebangkitan itu, tetapi (dahulu) kamu tidak meyakininya.”
Allah Ta’ala menyebutkan celaan orang-orang yang berilmu dan beriman kepada orang-orang kafir yang bersumpah pada Hari Kebangkitan bahawa mereka tidak tinggal di dalam kubur melainkan dalam masa yang sangat singkat. Padahal menurut ketetapan-Nya, mereka itu berada dalam kubur dari semenjak mereka dimatikan hinggalah Hari Kebangkitan yang bererti mereka berada dalam kubur dalam waktu yang lama tetapi mereka tidak mengetahui.
Ayat 57
فَيَوْمَئِذٍ لَّا يَنفَعُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مَعْذِرَتُهُمْ وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ
Maka pada hari itu tidak bermanfaat (lagi) bagi orang-orang yang zalim permintaan maaf mereka, dan tidak juga mereka diberi kesempatan untuk bertaubat lagi.
Oleh itu dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak ada gunanya bagi mereka sebarang alasan yang mereka utarakan atau apa yang mereka perbuat. Sebarang penyesalan dan taubat mereka tidak akan diterima pada hari tersebut.
Firman Allah Ta’ala di dalam surah yang lain:
“……….dan jika mereka minta belas kasihan, maka mereka itu tidak termasuk orang yang layak dikasihani.”
Fussilat 41:24