Surah 30: Ar-Rum (54)

Fasa Kehidupan Manusia

Surah 30: Ar-Rum (54)


Ayat 54

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۖ وَهُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْقَدِيرُ

Allah-lah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) kuat, kemudian setelah kuat Dia melemahkan (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Allah Ta’ala mengingatkan manusia tentang tahap perkembangan mereka yang berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain iaitu dari mula diciptakan. Dia menciptakan manusia daripada air yang lemah lagi hina dina, iaitu sperma, kemudian keluar dari perut ibu sebagai bayi yang lemah tidak dapat berbuat apa-apa.

Seterusnya, bayi itu membesar menjadi remaja dan dewasa. Ketika ini Allah Ta’ala memberikan mereka kekuatan dari segi fizikal, mental, semangat dan tenaga. Namun kemudian mereka kembali memasuki ke fasa lemah iaitu masa tua sampai ke usia lanjut.

Allah Ta’ala menciptakan apa yang Dia kehendaki berupa kelemahan dan kekuatan. Dia-lah yang Maha Mengetahui makhluk-Nya, yang juga Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dia-lah yang menciptakan kamu daripada tanah kemudian daripada setitis air mani, sesudah itu daripada segumpal darah, kemudian kamu dilahirkan sebagai seorang anak, dibiarkan kamu sehingga dewasa, kemudian menjadi tua, dan di antara kamu ada yang dimatikan sebelum itu. (Kami berbuat demikian) agar kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan kamu memahami(nya).”

Ghafir 40:67