Dalil Adanya Hari Kebangkitan
Surah 30: Ar-Rum (46 – 51)
Ayat 46
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَن يُرْسِلَ ٱلرِّيَاحَ مُبَشِّرَٰتٍ وَلِيُذِيقَكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَلِتَجْرِىَ ٱلْفُلْكُ بِأَمْرِهِۦ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya adalah Dia mengirimkan angin sebagai pembawa berita gembira dan agar kamu merasakan sebahagian daripada rahmat-Nya dan agar kapal dapat berlayar dengan perintah-Nya dan (juga) agar kamu dapat mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya, mudah-mudahan kamu bersyukur.
Allah Ta’ala menjelaskan nikmat-nikmat-Nya dan kurniaan-Nya kepada makhluk-Nya dengan mengirimkan angin yang membawa berita gembira tentang turunnya hujan. Angin meniupkan awan dan mengumpulkannya menjadi awan yang tebal sehingga dapat menurunkan hujan.
Maka angin itu merupakan rahmat Allah kepada makhluk-makhluk-Nya. Ini kerana dengannya hujan turun dan bumi menjadi subur dan menumbuhkan tanaman-tanaman yang menghijau lalu mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan yang banyak.
Selain itu, angin juga bertiup kencang dan membolehkan kapal-kapal layar berlayar di lautan. Kapal-kapal yang digerakkan oleh angin itu dimanfaatkan oleh manusia untuk melakukan perdagangan bagi mencari rezeki. Mereka membawa hasil barangan mereka ke daerah-daerah yang lain dan bertukar-tukar barang dagangan mereka.
Mudah-mudahan dengan sebab rahmat dan nikmat yang dilimpahkan oleh Allah Ta’ala kepada manusia, mereka menjadi umat yang bersyukur.
Firman Allah Ta’ala yang menyebutkan tentang angin dalam ayat yang lain:
“Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan) dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan (air) itu, dan bukanlah kamu yang menyimpannya.”
Al-Hijr 15:22
Ayat 47
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ رُسُلًا إِلَىٰ قَوْمِهِمْ فَجَآءُوهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَٱنتَقَمْنَا مِنَ ٱلَّذِينَ أَجْرَمُوا۟ ۖ وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan sesungguhnya, Kami benar-benar telah mengutus sebelum engkau (Muhammad) beberapa orang Rasul kepada kaum mereka, mereka datang kepada (kaum mereka) dengan membawa keterangan-keterangan (yang cukup), lalu Kami melakukan pembalasan terhadap orang-orang yang berdosa. Dan merupakan hak Kami untuk menolong orang-orang yang beriman.
Ayat ini adalah ayat tasliyah (hiburan) kepada Rasulullah saw bertujuan menenangkan hati baginda yang bersedih terhadap kekufuran kaumnya. Allah Ta’ala menjelaskan bahawa bukan sahaja baginda yang didustakan oleh kaumnya, tetapi Rasul-rasul terdahulu juga telah didustakan walaupun telah didatangkan bersama-sama mereka dalil-dalil dan mukjizat yang jelas. Kedatangan para Rasul yang membawa risalah menyebabkan sebahagian daripada kaum mereka ada yang mempercayainya dan ada sebahagian lagi mendustakannya bahkan ada juga yang menyakiti para Rasul tersebut.
Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan bahawa Dia akan membalas dengan mengazab orang-orang yang berdosa dan menyelamatkan orang-orang yang membenarkan para Rasul. Ini merupakan ketentuan-Nya (sunnatullah) yang menjadi hak-Nya dan tidak boleh diubah. Ketentuan-Nya ini mesti dilakukan-Nya sebagai sebuah penghormatan dan limpahan kurniaan-Nya kepada orang-orang mukmin.
Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang Rasul untuk tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah, dan jauhilah taghut,’ kemudian antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan……….”
An-Nahl 16:36
“Tidakkah mereka (orang munafik) mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya adalah baginya Neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya. Itulah kehinaan yang besar.”
At-Taubah 9:63
Ayat 48
ٱللَّهُ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُۥ فِى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ يَشَآءُ وَيَجْعَلُهُۥ كِسَفًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَـٰلِهِۦ ۖ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
Allah-lah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan dibentangkan-Nya di langit sebagaimana yang dikehendaki-Nya, dan dijadikan-Nya bergumpal-gumpal lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, lalu mereka bergembira.
Allah Ta’ala mengulangi lagi menyebut bukti kekuasaan-Nya yang jelas dapat disaksikan oleh hamba-hamba-Nya. Dia menerangkan tentang penciptaan hujan. Dia-lah yang mengirimkan angin ke merata-rata tempat lalu menggerakkan awan dan mengumpulkannya menjadi awan yang tebal. Setelah itu keluarlah dari celah-celahnya hujan lalu dengan turunnya hujan ini menyebabkan manusia bergembira. Ini kerana mereka sangat berhajatkannya. Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, kemudian Dia menjadikannya bertompok-tompok, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya dan Dia (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, (iaitu) daripada (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) ais itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya daripada siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.”
An-Nur 24:43
Ayat 49
وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيْهِم مِّن قَبْلِهِۦ لَمُبْلِسِينَ
Padahal sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa sebelum turunnya hujan, mereka yang disebutkan tadi telah pun berputus asa kerana ketiadaan hujan dalam waktu yang lama.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dia-lah Yang Maha Pelindung, lagi Maha Terpuji.”
Asy-Syura 42:28
Ayat 50
فَٱنظُرْ إِلَىٰٓ ءَاثَـٰرِ رَحْمَتِ ٱللَّهِ كَيْفَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Maka perhatikanlah tanda-tanda rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi setelah mati (kering). Sesungguhnya (Rabb yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Rangkaian ayat di atas merupakan dalil yang membenarkan adanya Hari Kebangkitan. Allah Ta’ala menyuruh memerhatikan kesan-kesan daripada turunnya air hujan. Sebagaimana Dia berkuasa menghidupkan kembali tanah yang tandus dan kering dengan terciptanya awan yang darinya air hujan diturunkan lalu menghidupkan kembali tanah yang telah mati, begitu jugalah Dia berkuasa menghidupkan semula orang yang mati.
Firman Allah dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan Allah menurunkan air (hujan) dari langit dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi yang telah mati. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mendengarkan (pengajaran).”
An-Nahl 16:65
“Dan Dia-lah yang meniupkan angin sebagai pembawa khabar gembira mendahului kedatangan rahmat-Nya (hujan) sehingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu. Kemudian Kami tumbuhkan dengan hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pengajaran.”
Al-A’raf 7:57
Ayat 51
وَلَئِنْ أَرْسَلْنَا رِيحًا فَرَأَوْهُ مُصْفَرًّا لَّظَلُّوا۟ مِنۢ بَعْدِهِۦ يَكْفُرُونَ
Dan sungguh, jika Kami mengirimkan angin (kepada tumbuh-tumbuhan) lalu mereka melihat (tumbuh-tumbuhan itu) menjadi kuning (kering), benar-benar tetaplah mereka itu menjadi orang-orang yang ingkar.
Allah Ta’ala mencela orang-orang yang mudah mengkufuri nikmat-Nya. Sekiranya Dia mengirimkan angin yang tidak baik sama ada angin panas atau angin dingin yang boleh merosakkan tanaman, lalu mereka melihat tanaman yang menghijau itu menguning, mengering lalu menjadi rosak atau musnah, nescaya mereka benar-benar menjadi orang-orang yang tidak tahu berterima kasih dan mengingkari nikmat-nikmat-Nya yang banyak sebelum ini yang telah Dia limpahkan kepada mereka dan membuat mereka gembira serta berasa senang seperti firman-Nya dalam ayat yang lain:
““Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu tanam. Kamukah yang menumbuhkannya atau Kamikah yang menumbuhkannya? Kalau Kami kehendaki, benar-benar Kami jadikannya hancur dan kering, maka jadilah kamu hairan dan tercengang, (sambil berkata), ‘Sesungguhnya kami benar-benar menderita kerugian. Bahkan kami menjadi orang-orang yang tidak mendapat apa-apa hasil.’”
Al-Waqi’ah 56:63-67