Surah 30: Ar-Rum (41 – 45)

Perintah supaya Mengambil Iktibar daripada Akibat Perbuatan Syirik Umat Terdahulu

Surah 30: Ar-Rum (41 – 45)


Ayat 41

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Kerosakan, kekacauan dan penyimpangan telah muncul di mana-mana dalam alam ini. Semakin banyak kemudharatan dan semakin berkurangan kemanfaatan semuanya itu akibat daripada kemaksiatan, kekafiran, kezaliman dan dosa-dosa manusia.

Hal ini kerana Allah Ta’ala memberikan balasan kepada hamba-hamba-Nya atas perbuatan buruk mereka. Ini bertujuan agar mereka kembali insaf dan bertaubat kepada-Nya dengan meninggalkan kemaksiatan, serta seterusnya keadaan mereka akan menjadi baik dan urusan mereka menjadi lurus. Firman-Nya:

“……….Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Al-A’raf 7:168

Ayat 42

قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلُ ۚ كَانَ أَكْثَرُهُم مُّشْرِكِينَ

Katakanlah (Muhammad), “Berjalanlah di bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang menyekutukan (Allah).”

Allah Ta’ala memerintahkan manusia memerhatikan akibat yang telah dialami oleh orang-orang terdahulu kerana kekafiran mereka terhadap ayat-ayat-Nya, mendustakan para Rasul dan mengingkari nikmat-nikmat-Nya. Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Berjalanlah kamu di bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa.’”

An-Naml 27:69

Ayat 43

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ ٱلْقَيِّمِ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌ لَّا مَرَدَّ لَهُۥ مِنَ ٱللَّهِ ۖ يَوْمَئِذٍ يَصَّدَّعُونَ

Oleh itu, hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam) sebelum datang daripada Allah suatu hari (kiamat) yang tidak dapat ditolak (kedatangannya). Pada hari itu mereka terpisah-pisah.

Allah Ta’ala menyeru hamba-hamba-Nya agar segera istiqamah dalam ketaatan dan bersegera melakukan amal-amal kebajikan sebelum datangnya Hari Kiamat. Pada hari itu manusia terpisah-pisah iaitu sebahagian daripada mereka berada di dalam syurga dan sebahagian lagi berada di dalam neraka.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan pada hari (ketika) terjadinya kiamat, pada hari itu manusia terpecah-pecah (dalam kelompok). Maka adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka di dalam taman (syurga) dan bergembira. Dan adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta (mendustakan) pertemuan dengan Hari Akhirat, mereka tetap berada di dalam azab (neraka).”

Ar-Rum 30:14-16

Ayat 44

مَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُۥ ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا فَلِأَنفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ

Sesiapa yang kafir maka dia sendiri yang menanggung (akibat) kekafirannya, dan sesiapa yang mengerjakan kebajikan maka mereka menyiapkan untuk diri mereka sendiri (tempat yang menyenangkan).

Selanjutnya, Allah Ta’ala menegaskan bahawa tiap-tiap golongan diberikan balasan sesuai dengan amalan mereka. Sesiapa kufur dan ingkar kepada-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan Hari Pembalasan malah melakukan kemaksiatan dan dosa, maka dia sendiri yang akan menanggung dosanya. Sebaliknya sesiapa yang beramal soleh dan mentaati-Nya dengan melakukan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya, bererti dia telah menyediakan untuk dirinya tempat yang layak dan menyenangkan di dalam syurga.

Firman Allah Ta’ala dalam surah-surah yang lain:

“Tidak ada balasan untuk kebaikan melainkan kebaikan (juga).”

Ar-Rahman 55:60

“Dan sesiapa mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”

Al-Zalzalah 99:8

Ayat 45

لِيَجْزِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن فَضْلِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Agar Allah memberi balasan (pahala) kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan daripada kurniaan-Nya. Dia tidak menyukai orang-orang yang ingkar (kufur).

Kemudian Allah Ta’ala menerangkan bahawa Dia akan memberikan balasan kepada orang-orang beriman dan beramal soleh dengan balasan yang baik sebagai kurniaan-Nya. Mereka akan menerima balasan bagi tiap-tiap suatu amal kebaikan dengan 10 kali ganda kebaikan yang serupa, sehingga 700 kali ganda bahkan sehingga tidak terhitung banyaknya seperti yang dikehendaki-Nya.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia membenci orang-orang kafir kerana kekufuran mereka dan mereka ini akan dibalas dengan kemurkaan-Nya berupa seksaan yang pedih di neraka.

Allah Ta’ala berfirman dalam surah-surah yang lain tentang orang-orang yang mengingkari nikmat-Nya:

“Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang ingkar kepada Allah.”

An-Nahl 16:83

“……….tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat berat.”

Ibrahim 14:7