Di Antara Sifat Manusia yang Tercela
Surah 30: Ar-Rum (33 – 37)
Ayat 33
وَإِذَا مَسَّ ٱلنَّاسَ ضُرٌّ دَعَوْا۟ رَبَّهُم مُّنِيبِينَ إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَآ أَذَاقَهُم مِّنْهُ رَحْمَةً إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُم بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ
Dan apabila manusia ditimpa sesuatu bahaya, mereka berdoa kepada Rabb mereka sambil kembali bertaubat kepada-Nya, kemudian apabila Dia memberi sedikit rahmat-Nya kepada mereka, tiba-tiba sebahagian daripada mereka menyekutukan Rabb mereka.
Allah Ta’ala menjelaskan tentang perilaku manusia terutama golongan yang menyekutukan-Nya. Mereka itu, apabila ditimpa bahaya atau mengalami kesusahan, mereka akan berdoa kepada-Nya dengan sebenar-benar ikhlas serta kembali bertaubat tidak lagi akan menyekutukan-Nya.
Namun apabila Allah Ta’ala menghilangkan bahaya atau kesusahan yang telah mereka alami dengan melimpahkan rahmat dan nikmat kepada mereka, maka mereka berbalik semula menyekutukan-Nya.
Mereka adalah orang-orang yang hanya mahu mengambil kesempatan dalam setiap keadaan. Mereka hanya mahu beriman, berdoa dan menyembah Allah Ta’ala ketika dalam keadaan yang sangat terdesak, namun apabila keadaan sudah tenang atau lapang maka sikap mereka terus berubah terhadap-Nya. Mereka berpaling daripada-Nya seolah-olah tidak mengenali-Nya lagi, bahkan mereka menyekutukan-Nya dengan sesuatu selain-Nya.
Firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang mereka lakukan.”
Yunus 10:12
“Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, hilanglah semua yang (biasa) kamu seru selain Dia, tetapi setelah Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dari-Nya), dan memanglah manusia itu sentiasa ingkar (tidak bersyukur).”
Al-Isra’ 17:67
Ayat 34
لِيَكْفُرُوا۟ بِمَآ ءَاتَيْنَـٰهُمْ ۚ فَتَمَتَّعُوا۟ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ
Biarkan mereka mengingkari rahmat yang telah Kami berikan kepada mereka. Maka bersenang-senanglah kamu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatan kamu).
Ayat ini merupakan ancaman Allah Ta’ala kepada orang-orang musyrik yang kufur terhadap nikmat-Nya. Dia menyatakan sekiranya mereka ingin kufur juga, maka Dia membiarkan mereka melakukan demikian. Namun kelak mereka akan dihisab dan akan dilemparkan ke dalam neraka apabila tiba Hari Kiamat sebagaimana firman-Nya:
“Kami biarkan mereka (orang-orang kafir itu) bersenang-lenang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam azab yang keras.”
Luqman 31:24
Ayat 35
أَمْ أَنزَلْنَا عَلَيْهِمْ سُلْطَـٰنًا فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِمَا كَانُوا۟ بِهِۦ يُشْرِكُونَ
Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu keterangan itu menunjukkan jalan yang membolehkan mereka melakukan perbuatan syirik itu?
Pertanyaan daripada Allah Ta’ala ini merupakan celaan kepada orang-orang musyrik yang menyembah selain-Nya tanpa bersandarkan dalil atau alasan yang membenarkan mereka berbuat demikian.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata, ‘Kami dapati nenek moyang kami melakukannya, dan Allah menyuruh kami melakukannya.’ Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Sesungguhnya Allah tidak pernah menyuruh melakukan perkara yang keji. Mengapa kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?’”
Al-A’raf 7:28
“……..Sembahlah Allah, Rabbku dan Rabb kamu, sesungguhnya sesiapa yang menyekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya Allah mengharamkan syurga baginya dan tempat (kembalinya) ialah neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang zalim.”
Al-Ma’idah 5:72
Ayat 36
وَإِذَآ أَذَقْنَا ٱلنَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا۟ بِهَا ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌۢ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa.
Seterusnya, Allah Ta’ala menjelaskan jenis manusia musyrik yang lain, iaitu orang-orang yang beribadah kepada-Nya hanya dengan bermatlamatkan keduniaan. Apabila mereka itu diberikan-Nya sebahagian daripada nikmat keduniaan, mereka berasa senang, berpuas hati, berbangga dan lupa diri. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan jika Kami kurniakan kebahagiaan kepadanya setelah bencana yang menimpanya, nescaya dia akan berkata, “Telah hilang bencana daripadaku.” Sesungguhnya dia (berasa) sangat gembira lagi bangga.”
Hud 11:10
Apabila Allah Ta’ala mengurniakan kepada manusia nikmat kesihatan, keselamatan dan kesenangan, mereka bergembira sambil berbangga dan angkuh dengan limpahan nikmat tersebut bukannya bersyukur.
Namun apabila mereka ditimpa penyakit, kemiskinan, ketakutan dan kesempitan hidup disebabkan oleh dosa-dosa dan kemaksiatan-kemaksiatan mereka, ternyata mereka berputus asa dengan lenyapnya semua kenikmatan tersebut. Ini adalah tabiat kebanyakan manusia dalam keadaan senang dan susah.
Namun bagi orang-orang yang mendapat petunjuk, mereka bersabar dalam menghadapi kesengsaraan dan rajin beramal soleh saat mendapat kemakmuran dan kesenangan. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“Kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal soleh………”
Hud 11:11
Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh menakjubkan orang mukmin itu. Tidaklah satu ketetapan yang Allah tetapkan padanya melainkan hal itu baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan bersyukur itu adalah baik baginya. Dan jika tertimpa kesusahan, dia bersabar dan bersabar itu adalah baik baginya.”
(HR. Muslim)
Ayat 37
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Tidakkah mereka memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia (juga) yang menyempitkan (rezeki itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.
Seterusnya, Allah Ta’ala mengingatkan mereka kepada suatu yang boleh menjadi penawar terhadap sikap mereka yang selalu berasa kecewa dan berputus asa dengan pertanyaan bahawa tidakkah mereka mengetahui dan menyaksikan bahawa Allah-lah yang Maha Mengatur dan melakukan semuanya itu dengan kebijaksanaan dan keadilan-Nya. Dia melapangkan rezeki suatu kaum dan menyempitkan rezeki kepada yang lainnya.
Selain itu, apa yang berlaku kepada mereka itu adalah ujian daripada Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya terhadap keimanan mereka. Ini sebagaimana dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Rabbmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya (kepada sesiapa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”
Al-Isra’ 17:30