Perintah supaya Berpegang kepada Agama Tauhid
Surah 30: Ar-Rum (30 – 32)
Ayat 30
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam), (mengikut) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Apabila akidah, keyakinan dan agama yang hak telah nyata dan jelas berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan sebelum ini, dan kesyirikan adalah nyata kebatilannya, maka Allah Ta’ala memerintahkan agar hamba-hamba-Nya mengikuti agama yang telah Dia gariskan kepada mereka iaitu agama Islam.
Agama Islam merupakan agama fitrah yang lurus dan benar daripada Allah Ta’ala kerana Dia menciptakan mereka atas dasar naluri memiliki Ilah, mengenali-Nya, mengesakan-Nya dan tiada Ilah selain-Nya. Fitrah ini adalah seperti firman-Nya dalam surah yang lain:
“Dan (ingatlah), ketika Rabbmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), ‘Bukankah Aku ini Rabbmu?’ Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Rabb kami), kami menjadi saksi.’ (Kami lakukan yang demikian itu) agar di Hari Kiamat kamu tidak mengatakan, ‘Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan).’”
Al-A’raf 7:172
Dalam sebuah hadis Qudsi disebutkan bahawa Allah Ta’ala berfirman:
“Sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan lurus. Namun kemudian syaitan-syaitan memalingkan mereka daripada agama mereka.”
(HR. Muslim)
Ada beberapa hadis yang menerangkan bahawa Allah Ta’ala menentukan makhluk-Nya beragama Islam. Kemudian datang kepada mereka agama yang rosak seperti Yahudi, Nasrani dan Majusi.
Daripada Abu Hurairah ra dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Setiap manusia yang lahir, mereka lahir dalam keadaan fitrah. Orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, telah jelas bahawa manusia diciptakan oleh Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama tauhid. Seandainya ada manusia yang tidak beragama tauhid, maka hal ini adalah sesuatu yang tidak wajar.
Ayat 31
مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَٱتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا تَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta laksanakanlah solat dan janganlah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyekutukan Allah.
Allah Ta’ala memerintahkan manusia berpegang teguh kepada agama Islam yang lurus itu dengan mendekatkan diri kepada-Nya dan bertaubat dengan sepenuh hati, serta bertakwa kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Selain itu, mereka diperintahkan melakukan solat tepat pada waktunya dan menyempurnakan rukuk serta syarat-syaratnya yang lain. Apabila seseorang itu melaksanakan solat, dapatlah dia melatih diri untuk khusyuk dan tunduk kepada perintah Allah baik secara terang-terangan mahupun secara sembunyi.
Daripada Umar bin Al-Khattab ra, Rasulullah saw bersabda:
“Beribadahlah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, maka jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala melarang orang-orang mukmin menjadikan diri mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang menyekutukan-Nya dalam beribadah. Mereka disuruh beribadah dengan ikhlas tanpa berbelah bagi memberikan ketaatan kepada-Nya.
Ayat 32
مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُوا۟ دِينَهُمْ وَكَانُوا۟ شِيَعًا ۖ كُلُّ حِزْبٍۭ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
Iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada mereka.
Ayat ini menerangkan sifat-sifat orang-orang musyrik. Mereka ini berbeza-beza dan berselisih pada apa yang mereka sembah sesuai dengan perbezaan hawa nafsu mereka. Mereka mengganti dan mengubah agama fitrah, mempercayai sebahagian daripadanya dan menolak sebahagian yang lain. Oleh itu mereka menjadi beberapa golongan seperti Yahudi, Nasrani, Majusi dan agama lain yang batil.
Setiap golongan ini berbangga dengan apa yang ada pada golongan masing-masing dan menyangka bahawa merekalah yang berada di pihak yang benar. Sedangkan pada hakikatnya mereka berada di pihak yang batil kerana bertentangan dengan agama hak yang diinginkan oleh Allah Ta’ala. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam (agama) Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia (syaitan) itu musuh bagi kamu yang nyata.”
Al-Baqarah 2:208