Perumpamaan pada Manusia yang Menunjukkan Keesaan Allah Swt
Surah 30: Ar-Rum (28 – 29)
Ayat 28
ضَرَبَ لَكُم مَّثَلًا مِّنْ أَنفُسِكُمْ ۖ هَل لَّكُم مِّن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُم مِّن شُرَكَآءَ فِى مَا رَزَقْنَـٰكُمْ فَأَنتُمْ فِيهِ سَوَآءٌ تَخَافُونَهُمْ كَخِيفَتِكُمْ أَنفُسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dia membuat perumpamaan untuk kamu daripada dirimu sendiri. Apakah (kamu redha jika) ada di antara hamba sahaya yang kamu miliki, menjadi sekutu bagimu dalam (memiliki) rezeki yang telah Kami berikan kepadamu, sehingga kamu menjadi setara dengan mereka dalam hal ini, lalu kamu takut kepada mereka sebagaimana kamu takut kepada sesama kamu. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengerti.
Allah Ta’ala membuat perumpamaan ditujukan kepada orang-orang yang menyekutukan-Nya dengan memberikan gambaran terhadap apa yang berlaku pada diri mereka sendiri. Mereka adalah orang-orang yang merdeka semuanya dan memiliki hamba. Oleh itu, persoalannya layakkah mereka disamakan dengan hamba-hamba mereka dalam hal pemilikan harta? Relakah mereka sekiranya pemilikan harta itu dikongsi bersama dengan hamba-hamba mereka? Setujukah mereka jika hamba-hamba mereka diberikan kuasa dalam hal ehwal pengurusan harta tersebut? Jawapannya sudah pasti tidak. Mereka pasti tidak membenarkan hamba-hamba mereka berbuat sesuatu terhadap harta milik mereka.
Begitu jugalah halnya dalam perkara menyekutukan Allah Ta’ala dengan selain-Nya. Sekiranya tuan di kalangan manusia pun tidak rela disetarakan dengan hambanya, lalu mana mungkin mereka menjadikan makhluk Allah Ta’ala sekutu bagi-Nya.
At-Tabrani meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia yang mengatakan bahawa dahulu orang-orang musyrik mengucapkan talbiyah mereka dengan bacaan, “Aku penuhi panggilan-Mu wahai Allah, tiada sekutu bagi-Mu kecuali sekutu yang Engkau miliki. Engkau yang memilikinya dan memiliki segala yang dimilikinya.” Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat ini.
Perumpamaan ini sudah jelas membuktikan kebersihan dan kesucian Allah Ta’ala daripada memiliki sekutu.
Ayat 29
بَلِ ٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ أَهْوَآءَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۖ فَمَن يَهْدِى مَنْ أَضَلَّ ٱللَّهُ ۖ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ
Tetapi orang-orang yang zalim, hanya mengikut keinginannya tanpa ilmu pengetahuan, maka siapakah yang akan memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah. Dan tidak ada seorang pun mampu menolong mereka.
Namun orang-orang musyrik itu menzalimi diri sendiri dengan mengikut hawa nafsu tanpa ilmu. Mereka tidak mahu menggunakan akal fikiran untuk mengambil faedah daripada ilmu pengetahuan yang benar dan bukti-bukti yang jelas. Mereka hanya bertaklid buta kepada nenek moyang mereka sehingga mereka dengan sembahan mereka sama-sama berada dalam kejahilan dan kesesatan.
Sesungguhnya tiada yang mampu memberi petunjuk kepada sesiapa yang disesatkan oleh Allah Ta’ala kerana kedegilan mereka untuk terus berada dalam kekafiran dan penentangan. Mereka juga tidak memiliki penolong-penolong yang akan membebaskan mereka daripada azab-Nya kelak.
Firman-firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
Al-An’am 6:116
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedangkan mereka berada dalam tempat yang luas dalam (gua) itu. Itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang penolong yang dapat memberi petunjuk kepadanya.”
Al-Kahfi 18:17