Surah 30: Ar-Rum (17 – 19)

Perintah Mensucikan dan Memuji Allah Ta’ala pada Waktu Pagi dan Petang

Surah 30: Ar-Rum (17 – 19)


Ayat 17

فَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ

Maka bertasbihlah kepada Allah ketika kamu berada pada petang hari dan ketika kamu berada pada waktu Subuh.

Allah Ta’ala menyeru dan membimbing hamba-hamba-Nya agar bertasbih dan memuji-Nya pada waktu-waktu pagi dan petang yang saling silih berganti. Silih bergantinya waktu-waktu ini menunjukkan kesempurnaan kekuasaan dan keagungan-Nya. Dia menyebutkan dua waktu ini kerana terdapat perubahan yang jelas pada kedua-duanya.

Bertasbih kepada Allah Ta’ala bermaksud mensucikan-Nya daripada segala sifat-sifat kekurangan dan menyandarkan kepada-Nya segala sifat-sifat kesempurnaan.

Ada ulama tafsir mengatakan maksud bertasbih dalam ayat di atas adalah solat dan ayat-ayat ini juga menerangkan tentang waktu solat fardhu yang lima.

Allah Swt juga berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang mengingati (Allah).”

Hud 11:114

“Dirikanlah solat sesudah terbenam matahari sehingga gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh para malaikat). Dan pada sebahagian malam dirikanlah solat tahajjud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”

Al-Isra’ 17:78-79

Ayat 18

وَلَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُونَ

Dan bagi-Nya-lah segala puji di langit dan di bumi dan ketika kamu berada pada petang hari dan ketika kamu berada pada waktu zohor.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah yang layak dipuji kerana Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi ini. Dia dipuji oleh segenap penduduk langit dan bumi seperti dalam firman-Nya:

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.”

Al-Isra’ 17:44

Seterusnya, Allah Ta’ala menyebut Maha Suci Dia yang telah menciptakan malam dan siang hari. Dia-lah juga yang menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat.

Firman-firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan siang apabila menampakkannya, dan malam apabila menutupinya.”

Asy-Syams 91:3-4

“Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang.”

Al-Lail 92:1-2

“Demi waktu matahari sepenggalah naik, dan demi malam apabila telah sunyi.”

Adh-Dhuha 93:1-2

Ayat 19

يُخْرِجُ ٱلْحَىَّ مِنَ ٱلْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ ٱلْمَيِّتَ مِنَ ٱلْحَىِّ وَيُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ وَكَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ

Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan menghidupkan bumi sesudah matinya. Dan seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur).

Allah Ta’ala menyebutkan tentang Maha Sempurna Kekuasaan-Nya yang memang layak disucikan dan dipuji:

Pertama

▪️   Allah Ta’ala Berkuasa menciptakan segala sesuatu yang keadaannya berlawanan. Antara lain ialah Dia mengeluarkan tumbuh-tumbuhan daripada biji-bijian, mengeluarkan biji-bijian daripada tumbuh-tumbuhan. Dia keluarkan telur daripada ayam, dan ayam dikeluarkan-Nya daripada telur. Manusia pula berasal daripada nutfah (air mani), dan air mani berasal daripada manusia.

Kedua

▪️   Allah Ta’ala Berkuasa menghidupkan bumi yang mati atau tanahnya kering. Apabila diturunkan-Nya hujan, airnya meresap ke dalam bumi lalu menjadikannya subur. Kemudian tumbuhlah tanaman yang segar padahal dahulunya gersang. Sebagaimana bumi itu dimudahkan-Nya menjadi subur begitulah mudahnya Dia menghidupkan orang yang mati dari kuburnya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang indah. Demikian itu, sesungguhnya Allah, Dia-lah yang hak dan sesungguhnya Dia-lah yang menghidupkan segala yang telah mati dan sesungguhnya Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Dan sesungguhnya Hari Kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan sesiapa yang ada di dalam kubur.”

Al-Hajj 22:5-7