Surah 29: Al-‘Ankabut (47 – 49)

Dalil bahawa Al-Quran Diturunkan dari Allah Swt

Surah 29: Al-‘Ankabut (47 – 49)


Ayat 47

وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ ۚ فَٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۖ وَمِنْ هَـٰٓؤُلَآءِ مَن يُؤْمِنُ بِهِۦ ۚ وَمَا يَجْحَدُ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَّا ٱلْكَـٰفِرُونَ

Dan demikian (jugalah) Kami turunkan kepadamu kitab (Al-Quran). Maka orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka kitab (Taurat) mereka beriman kepadanya (Al Quran), dan di antara mereka (orang-orang kafir Mekah) ada yang beriman kepadanya. Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang kafir.

Allah Swt menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahawa Dia telah menurunkan kitab-kitab kepada rasul-rasul sebelum baginda, sebagaimana Dia turunkan Al-Quran kepada baginda.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum ini iaitu kaum Yahudi dan Nasrani, ada di kalangan mereka yang beriman kepada Al-Quran. Mereka memahami isinya lalu membacanya dengan bacaan yang benar dan menghayatinya. Mereka ini terdiri daripada para ulama ahli kitab, para ilmuan dan agamawan yang bijak seperti Abdullah bin Salam, Salman Al-Farisi dan lain-lain.

Selain itu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa ada di kalangan orang-orang Quraisy dan orang-orang Arab yang lain beriman kepada Al-Quran. Manakala orang-orang yang mendustakan dan mengingkari kebenaran ayat-ayat-Nya adalah orang-orang yang menutupi kebenaran itu dengan perkara yang batil. Hal ini diumpamakan seperti orang yang menghalang sinar matahari dengan menggunakan pelbagai penutup.

Ayat 48

وَمَا كُنتَ تَتْلُوا۟ مِن قَبْلِهِۦ مِن كِتَـٰبٍ وَلَا تَخُطُّهُۥ بِيَمِينِكَ ۖ إِذًا لَّٱرْتَابَ ٱلْمُبْطِلُونَ

Dan engkau (Muhammad) tidak pernah membaca sebelumnya (Al-Quran) sesuatu kitab pun dan engkau tidak (pernah) menulis suatu kitab dengan tangan kananmu, sekiranya (engkau pernah membaca dan menulis), nescaya ragu-ragulah orang yang mengingkari(mu).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw telah tinggal di kalangan kaumnya sebelum diturunkan Al-Quran kepadanya. Selama itu, baginda tidak dapat membaca dan tidak juga dapat menulis. Bahkan semua orang daripada kalangan kaumnya mengetahui bahawa baginda adalah seorang lelaki yang tidak dapat membaca dan menulis. Perkara yang sama tentang sifatnya ini telah disebutkan dalam kitab-kitab terdahulu, sebagaimana yang firman-Nya:

“(Iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Al-A’raf 7:157

Seandainya Nabi Muhammad saw adalah seorang yang pandai membaca dan menulis nescaya manusia yang jahil akan meragui kebenaran agama yang dibawanya. Mereka pasti akan mengatakan bahawa baginda memperoleh ilmu hasil bacaan baginda daripada kitab-kitab terdahulu. Firman-Nya:

“Dan mereka berkata, ‘Dongengan-dongengan orang-orang dahulu, dimintanya supaya dituliskan, maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang.’”

Al-Furqan 25:5

Ayat 49

بَلْ هُوَ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌ فِى صُدُورِ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ ۚ وَمَا يَجْحَدُ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَّا ٱلظَّـٰلِمُونَ

Sebenarnya, (Al-Quran) itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.

Bahkan Allah Ta’ala menyatakan bahawa ayat-ayat Al-Quran itu merupakan ayat-ayat yang jelas dalam menunjukkan kebenaran, baik perintah mahupun larangan atau pun berita-berita. Semuanya terpelihara dalam dada orang-orang yang berilmu dengan dihafal oleh umat Islam sejak turun temurun. Mereka menghafalnya dan Allah Ta’ala sentiasa memudahkan mereka membaca, memahami dan mengambil pelajaran daripadanya. Firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”

Al-Qamar 54:17

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak ada yang mendustakan, mencemuh dan menentang ayat-ayat Al-Quran kecuali orang-orang zalim, iaitu orang-orang yang melampaui batas. Mereka ini mengetahui kebenaran tetapi tetap menentangnya.