Surah 29: Al-‘Ankabut (28 – 35)

Kisah Nabi Lut as dan Kaumnya

Surah 29: Al-‘Ankabut (28 – 35)


Ayat 28

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan (ingatlah) ketika Lut berkata kepada kaumnya, “Sesungguhnya kamu benar-benar melakukan perbuatan yang amat keji yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun daripada umat-umat sebelum kamu.”

Ayat ini menceritakan Nabi Lut as menentang keras kebiasaan buruk kaumnya yang terlalu lama mereka lakukan iaitu melakukan liwat (homoseksual). Hubungan sejenis ini tidak pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum mereka.

Allah Ta’ala menyebut tentang teguran dan nasihat Nabi Lut as kepada kaumnya dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan (ingatlah kisah) Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya, ‘Mengapa kamu melakukan perbuatan keji, padahal kamu melihatnya (kekejian perbuatan maksiat itu)? Mengapa kamu mendatangi lelaki untuk (memenuhi) syahwat(mu), bukan (mendatangi) perempuan? Sesungguhnya, kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu).’”

An-Naml 27:54-55

“Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki (yang suka berbuat homoseksual) daripada kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Rabb kamu untuk dijadikan sebagai isteri-isteri kamu? Kamu (memang) orang-orang yang melampaui batas.”

Asy-Syu’ara’ 26:165-166

Ayat 29

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ ٱلسَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِى نَادِيكُمُ ٱلْمُنكَرَ ۖ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ ٱئْتِنَا بِعَذَابِ ٱللَّهِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Apakah sesungguhnya kamu patut mendatangi lelaki, menyamun dan melakukan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu? Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, “Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”

Selain melakukan perkara keji tersebut, mereka juga melakukan kemungkaran seperti bersembunyi di jalan-jalan yang sunyi, kemudian jika ada orang yang melalui kawasan tersebut mereka membunuh dan merampas harta-harta mereka.

Ada sebahagian mufassir menyatakan maksud تَقْطَعُونَ ٱلسَّبِيلَ ialah melakukan perbuatan-perbuatan keji terhadap orang-orang yang melakukan perjalanan. Ini kerana sebahagian besar mereka melakukan homoseksual dengan tetamu yang datang ke kampung. Ada juga mufassir yang menyatakan maksudnya ialah merosakkan jalan keturunan kerana perbuatan homoseksual mereka.

Perkataan mereka agar didatangkan azab kepada mereka menandakan kekufuran, ejekan dan penentangan mereka kepada dakwah Nabi Lut as. Oleh itu, Nabi Lut as pun memohon pertolongan kepada Allah Ta’ala untuk mengatasi mereka seperti dalam ayat seterusnya.

Ayat 30

قَالَ رَبِّ ٱنصُرْنِى عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْمُفْسِدِينَ

Dia (Lut) berdoa, “Wahai Rabbku, tolonglah aku (dengan menimpakan azab) atas kaum yang berbuat kerosakan itu.”

Nabi Lut as memohon kepada Allah Ta’ala agar menimpakan azab atas kaumnya kerana kekufuran mereka dan pelbagai kemaksiatan yang mereka lakukan termasuklah perbuatan keji iaitu homoseksual.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“(Lut berdoa), ‘Wahai Rabbku selamatkanlah aku bersama-sama keluargaku daripada (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan.’”

Asy-Syu’ara’ 26:169

Ayat 31

وَلَمَّا جَآءَتْ رُسُلُنَآ إِبْرَٰهِيمَ بِٱلْبُشْرَىٰ قَالُوٓا۟ إِنَّا مُهْلِكُوٓا۟ أَهْلِ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ ۖ إِنَّ أَهْلَهَا كَانُوا۟ ظَـٰلِمِينَ

Dan tatkala utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa berita gembira, mereka mengatakan, “Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk negeri (Sodom) ini. Sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim.”

Setelah Nabi Lut as memohon pertolongan kepada Allah Ta’ala untuk mengatasi kaumnya yang menyimpang, maka Dia mengutus para malaikat untuk menolongnya.

Para malaikat mengunjungi Nabi Ibrahim as untuk memberitahu baginda bahawa mereka ditugaskan untuk membinasakan kaum Nabi Lut as. Mereka juga menyampaikan berita gembira bahawa Nabi Ibrahim as akan mendapat seorang putera sebagaimana firman-Nya dalam surah yang lain:

“(Malaikat-malaikat) berkata, ‘Janganlah kamu berasa takut, sesungguhnya kami memberi berita gembira kepadamu dengan (kelahiran seorang) anak lelaki (yang akan menjadi) orang yang pandai (Ishak).’ Dia (Ibrahim) berkata, ‘Benarkah kamu memberi berita gembira kepadaku padahal usiaku telah lanjut, lalu (dengan cara) bagaimana kamu memberi (berita gembira) tersebut?’ (Mereka) menjawab, ‘Kami menyampaikan berita gembira kepadamu dengan benar, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa.’ Dia (Ibrahim) berkata, ‘Tidak ada orang yang berputus asa daripada rahmat Rabbnya, kecuali orang-orang yang sesat.’”

Al-Hijr 15:53-56

Kemudian para malaikat mengatakan bahawa Allah Ta’ala mengutuskan mereka kepada kaum Nabi Lut as yang berdosa seperti firman-Nya:

“(Malaikat-malaikat) menjawab, ‘Sesungguhnya kami diutuskan kepada kaum yang berdosa.’”

Al-Hijr 15:58

Ayat 32

قَالَ إِنَّ فِيهَا لُوطًا ۚ قَالُوا۟ نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَن فِيهَا ۖ لَنُنَجِّيَنَّهُۥ وَأَهْلَهُۥٓ إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ كَانَتْ مِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ

Dia (Ibrahim) berkata, “Sesungguhnya di kota itu ada Lut.” Mereka (para malaikat) berkata, “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami sungguh-sungguh akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya. Dia (isterinya) adalah termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).

Nabi Ibrahim as berasa bimbang lalu mengatakan kepada malaikat, adakah para malaikat itu akan membinasakan kota tersebut sedangkan di negeri itu ada Nabi Lut as, seorang yang soleh dan beriman.

Lalu para malaikat mengatakan mereka lebih mengetahui daripada Nabi Ibrahim as tentang orang-orang mukmin dan orang-orang kafir yang ada di sana. Mereka akan menyelamatkan Nabi Lut as, keluarga dan para pengikutnya yang mukmin daripada kebinasaan kecuali isterinya. Isterinya termasuk orang-orang yang dibinasakan kerana dia menyokong kaumnya dalam kekufuran, kezaliman dan perbuatan keji mereka.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir (iaitu) isteri Nuh dan isteri Lut. Kedua-duanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua-dua isteri itu berkhianat kepada kedua-dua suaminya, maka kedua-kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun daripada (seksaan) Allah. Dan dikatakan (kepada kedua-dua isteri itu), ‘Masuklah kamu berdua ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka).’”

At-Tahrim 66:10

Ayat 33

وَلَمَّآ أَن جَآءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِىٓءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا۟ لَا تَخَفْ وَلَا تَحْزَنْ ۖ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ إِلَّا ٱمْرَأَتَكَ كَانَتْ مِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ

Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Lut, dia berasa dukacita kerana (kedatangan) mereka, dan (berasa) tidak mempunyai kekuatan untuk melindungi mereka dan mereka berkata, “Janganlah kamu takut dan jangan (pula) berdukacita. Sesungguhnya Kami akan menyelamatkan kamu dan pengikut-pengikutmu, kecuali isterimu, dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).”

Kedatangan utusan-utusan Allah Ta’ala itu membuatkan Nabi Lut as berasa sedih kerana mereka merupakan pemuda yang tampan, sedangkan kaum baginda sangat menyukai pemuda-pemuda yang tampan untuk melakukan homoseksual. Baginda merasakan tidak sanggup melindungi mereka apabila ada gangguan daripada kaumnya nanti. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Lut, dia berasa curiga dan dadanya berasa sempit kerana (kedatangan) mereka. Dia (Lut) berkata, “Ini adalah hari yang amat sulit.” Dan kaumnya segera datang kepadanya (dengan tergesa-gesa). Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan-perbuatan yang keji………..”

Hud 11:77-78

Para malaikat mengatakan kepada Nabi Lut as bahawa baginda tidak perlu berasa takut dan bersedih disebabkan perbuatan kaumnya. Ini kerana kedatangan mereka iaitu para malaikat itu adalah untuk menyelamatkan baginda dan kaumnya yang beriman kecuali isterinya yang curang dan dia termasuk orang-orang yang dibinasakan.

Ayat 34

إِنَّا مُنزِلُونَ عَلَىٰٓ أَهْلِ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ رِجْزًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ

Sesungguhnya Kami akan menurunkan azab dari langit kepada penduduk kota ini kerana membuat perkara yang fasik.

Bentuk azab yang Allah Ta’ala timpakan ke atas kaum Nabi Lut as yang ingkar ialah berlakunya gempa bumi yang menenggelamkan mereka ke dalam bumi. Jibril as mencabut tempat tinggal mereka (daerah Sodom) dari bumi, kemudian mengangkatnya ke langit lalu membalikkan kepada mereka. Mereka dihujani dengan batu panas bertubi-tubi dan mereka adalah termasuk orang-orang yang paling berat azabnya pada Hari Kiamat kelak.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Maka ketika telah datang perintah (azab) Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (Kami terbalikkan), dan Kami hujani mereka bertubi-tubi dengan batu daripada tanah yang terbakar, yang diberi tanda oleh Rabbmu, dan seksaan itu tiadalah jauh daripada orang-orang yang zalim.”

Hud 11:82-83

Ayat 35

وَلَقَد تَّرَكْنَا مِنْهَآ ءَايَةًۢ بَيِّنَةً لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Dan sesungguhnya, telah Kami tinggalkan satu tanda yang nyata bagi orang-orang yang berakal.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa bekas-bekas runtuhan peninggalan Kota Sodom, negeri kaum Nabi Lut as tersebut masih dapat dilihat, agar dapat dijadikan pengajaran oleh orang-orang yang hidup selepas mereka.

Firman-firman Allah Swt dalam ayat lain:

“Lalu Kami keluarkan orang-orang yang beriman yang berada di dalamnya (negeri kaum Lut) itu. Maka Kami tidak mendapati di dalamnya (negeri itu), kecuali sebuah rumah daripada orang-orang muslim (Lut). Dan Kami tinggalkan padanya (negeri itu) suatu tanda bagi orang-orang yang takut kepada azab yang pedih.”

Az-Zariyat 51:35-37

“Dan sesungguhnya kamu (penduduk Mekah) benar-benar akan melalui (bekas-bekas tinggalan) mereka pada waktu pagi, dan pada waktu malam. Maka mengapa kamu tidak mengerti?”

As-Saffat 37:137-138