Kisah Nabi Nuh as dan Kaumnya
Surah 29: Al-‘Ankabut (14 – 15)
Ayat 14
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ ٱلطُّوفَانُ وَهُمْ ظَـٰلِمُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka ditimpa banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim.
Allah Ta’ala menurunkan ayat ini untuk memberikan ketenangan kepada Nabi Muhammad saw yang menghadapi tentangan daripada kaumnya, dengan menceritakan kisah Nabi Nuh as. Nabi Nuh as tinggal bersama-sama kaumnya selama 950 tahun untuk mengajak mereka menyembah Allah.
Dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh as dilakukannya siang dan malam, baik secara rahsia mahupun secara terang-terangan. Meskipun dakwah yang disampaikannya itu tidak henti-henti, pengikut-pengikutnya tidak bertambah bahkan semakin ramai yang lari daripada kebenaran, menentang dan mendustakannya dan yang beriman hanya sedikit sahaja.
Setelah masa yang cukup panjang tersebut, penyampaian dan peringatan Nabi Nuh as tidak dapat mengubah mereka. Mereka kekal dalam kesyirikan, lalu mereka ditimpa banjir besar dan tenggelam semuanya.
Ayat 15
فَأَنجَيْنَـٰهُ وَأَصْحَـٰبَ ٱلسَّفِينَةِ وَجَعَلْنَـٰهَآ ءَايَةً لِّلْعَـٰلَمِينَ
Maka Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang berada di atas kapal itu, dan Kami jadikan (peristiwa) itu sebagai pengajaran buat semua manusia.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menyelamatkan Nabi Nuh as dan orang-orang beriman yang bersama-samanya dengan menaiki bahtera yang telah diwahyukan kepadanya bagaimana cara membuatnya. Manakala semua orang-orang kafir tenggelam di dalam banjir yang besar itu. Kemudian bahtera itu berlayar di dalam banjir itu sehingga berlabuh di atas Gunung Judi.
Sesungguhnya Allah Ta’ala menjadikan peristiwa itu sebagai pelajaran dan nasihat untuk direnungkan oleh orang-orang yang datang selepas mereka sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya, ketika air naik (sampai ke gunung), Kami membawa (nenek moyang) kamu ke dalam kapal, agar Kami jadikan (peristiwa itu) sebagai peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.”
Al-Haqqah 69:11-12