Surah 29: Al-‘Ankabut (8 – 9)

Perintah agar Berbuat Baik kepada Ibu Bapa

Surah 29: Al-‘Ankabut (8 – 9)


Ayat 8

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حُسْنًا ۖ وَإِن جَـٰهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَآ ۚ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua ibu bapanya. Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Ayat 9

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَنُدْخِلَنَّهُمْ فِى ٱلصَّـٰلِحِينَ

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh benar-benar akan Kami masukkan mereka ke dalam (golongan) orang-orang yang soleh.

Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya berbuat baik kepada kedua orang tua setelah Dia menganjurkan untuk berpegang teguh dengan tauhid iaitu mengesakan-Nya. Berbuat baik kepada orang tua itu adalah dengan berbakti kepada kedua-duanya, mengasihi mereka dan bersikap lemah lembut sama ada dari segi ucapan mahupun perbuatan.

Perintah ini adalah berdasarkan kedua ibu bapa menjadi faktor penyebab terlahirnya seseorang ke dunia. Kedua-duanya mempunyai hak untuk diperlakukan dengan baik oleh anak-anak. Ini kerana seorang ayah menyediakan nafkah untuk keperluan kehidupan, manakala ibu pula memberikan kasih sayang. Berbuat baik kepada kedua-duanya merupakan balasan yang setimpal atas perbuatan baik kedua-duanya pada masa lalu. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan Rabbmu telah memerintahkan supaya kamu jangan beribadah kepada selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Rabbku, kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil.’”

Al-Isra’ 17:23-24

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan seandainya kedua ibu bapa mendorong anak-anak mengikuti agama yang dianut oleh kedua-duanya, jika kedua-duanya musyrik, maka hendaklah anak-anak itu berwaspada terhadap kedua-duanya dan hendaklah tidak mentaati kedua-duanya dalam masalah itu, namun tetap berbuat baik kepada kedua-duanya.

Ini kerana tempat kembali hamba-hamba-Nya pada Hari Kiamat adalah kepada-Nya, Dia akan membalas perbuatan baik kepada kedua-duanya dan kesabaran mereka berpegang teguh dengan agama Allah serta tidak terpengaruh dengan agama kedua ibu bapa masing-masing.

Allah Ta’ala akan mengumpulkan mereka bersama dengan orang-orang yang soleh, bukan dengan golongan orang yang musyrik, sekalipun semasa di dunia mereka merupakan manusia yang paling dekat dengan kedua ibu bapanya. Ini kerana seseorang hanya akan dikumpulkan pada Hari Kiamat bersama orang-orang yang dicintainya, iaitu cinta kerana agama.

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis daripada Sa’ad bin Abi Waqqas ra, dia berkata, “Ada empat ayat dalam Al-Quran yang turun berkaitan dengan aku.” Maka Sa’ad pun menceritakan kisahnya. Dia berkata, “Ibuku (Ummu Sa’ad) berkata, ‘Tidakkah Allah memerintahkan kamu untuk berbakti kepada orang tua? Demi Allah, aku tidak akan makan satu suap pun dan tidak akan minum seteguk pun hingga aku mati atau kamu kufur.’ Sa’ad berkata, ‘Dahulu, jika mereka ingin memberinya makan, maka mereka menekan mulutnya, maka turunlah ayat ini.’”

(HR. At-Tirmidzi, Ahmad, Muslim, Abu Dawud dan An-Nasa’i)