Surah 29: Al-‘Ankabut (5 – 7)

Manfaat Setiap Kebaikan akan Kembali kepada Pelakunya

Surah 29: Al-‘Ankabut (5 – 7)


Ayat 5

مَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ ٱللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ ٱللَّهِ لَـَٔاتٍ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang. dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah Ta’ala menyatakan sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan-Nya di akhirat kelak dan dia beramal soleh serta mengharapkan pahala melimpah di sisi-Nya, maka sesungguhnya Allah Ta’ala akan menunaikan harapannya itu serta memenuhi balasan amalnya secara lengkap dan sempurna. Ini adalah suatu perkara yang pasti terjadi kerana Dia Maha Mendengar segala doa serta Maha Mengetahui setiap kejadian.

Ayat 6

وَمَن جَـٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَـٰهِدُ لِنَفْسِهِۦٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan sesiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam.

Sesiapa yang beramal soleh, maka manfaat amalannya itu hanya akan kembali kepada dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Kaya, Dia tidak memerlukan amalan hamba-hamba-Nya. Meskipun seluruh manusia mempunyai hati yang bertakwa nescaya hal itu tidak menambahkan sedikitpun kekuasaan-Nya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan sesiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka (dosanya) untuk dirinya sendiri, dan sekali-kali tidaklah Rabbmu menganiaya hamba-hamba-Nya.”

Fussilat 41:46

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka itu adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan, maka itu akan menimpa dirinya sendiri, kemudian kepada Rabbmulah kamu dikembalikan.”

Al-Jathiyah 45:15

Ayat 7

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَحْسَنَ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, benar-benar akan Kami hapuskan daripada mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan memberikan balasan yang paling baik kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh iaitu syurga. Dia juga akan menghapuskan dosa atau menutup perbuatan buruk yang pernah mereka lakukan.

Allah Ta’ala menerima kebaikan walaupun sedikit dan memberi pahala satu kebaikan dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Namun Dia hanya akan membalas satu kejahatan dengan kadar yang sama atau memaafkan dan tidak menghukum.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“(Ingatlah) pada hari (ketika) Allah mengumpulkan kamu pada Hari Perhimpunan, itulah hari dinampakkan kesalahan-kesalahan. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan beramal soleh, nescaya Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.”

At-Taghabun 64:9

“Dan orang-orang yang beriman (kapada Allah) dan beramal soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah kebenaran daripada Rabb mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.”

Muhammad 47:2

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.”

An-Nisa’ 4:40