Allah Ta’ala Menguji Orang Beriman agar Dapat Membezakan sama ada Iman Mereka Benar atau Sebaliknya
Surah 29: Al-‘Ankabut (1 – 4)
Ayat 1
الٓمٓ
Alif Lam Mim.
Ayat 2
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji lagi?
Pada permulaan surah ini, Allah Ta’ala memulakan dengan pertanyaan iaitu adakah manusia menyangka setelah mereka diciptakan kemudian dibiarkan sahaja mengucapkan bahawa mereka telah beriman kepada Allah Ta’ala dan Rasul-Nya sedangkan mereka belum diuji dengan bebanan kewajipan yang berat seperti berhijrah, berjihad pada jalan Allah, melawan hawa nafsu, melaksanakan tugas-tugas ketaatan dan kewajipan-kewajipan yang berkaitan dengan harta dan penglibatan fizikal seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan pelbagai jenis ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
Al-Baqarah 2:214
Oleh itu maksud ayat ini ialah, Allah Ta’ala pasti akan menguji hamba-hamba-Nya yang beriman sesuai dengan kadar keimanan masing-masing.
Ayat 3
وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَـٰذِبِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya Dia telah menguji umat-umat sebelum mereka, iaitu sebelum umat Nabi Muhammad saw dengan tugas-tugas keagamaan dan pelbagai nikmat serta ujian, agar dapat mengenal pasti orang-orang yang benar-benar beriman dan orang-orang yang berdusta sesuai dengan apa yang diketahui berdasarkan ilmu-Nya. Maka sesungguhnya Dia pasti mengetahui antara orang-orang yang benar dalam keimanannya dan orang-orang yang berdusta.
Allah Ta’ala juga telah menguji para Rasul terdahulu dengan ujian yang berat, begitu juga dengan pengikut-pengikut mereka sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sahih yang mengatakan:
“(Orang yang paling berat ujiannya adalah) para Nabi, kemudian yang seumpamanya dan yang seumpamanya, diuji seseorang sesuai dengan kadar agamanya, jika kuat agamanya maka semakin berat ujiannya, jika lemah agamanya maka diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka sentiasa seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan di atas permukaan bumi tanpa memiliki dosa.”
(HR. At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Syeikh Al-Albany berkata: Hasan Sahih)
Ayat 4
أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن يَسْبِقُونَا ۚ سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ
Atau adakah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu menyangka bahawa mereka akan luput (daripada azab) kami? Amatlah buruk apa yang mereka tetapkan itu.
Allah Ta’ala menyatakan apakah orang-orang yang melakukan maksiat seperti mensyirikkan-Nya dan perbuatan maksiat yang lain menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab-Nya.
Sesungguhnya di akhirat kelak terdapat seksaan dan pembalasan yang jauh lebih berat dan lebih pedih daripada apa yang mereka alami di dunia.