Perintah Allah Ta’ala kepada Rasulullah saw agar Baginda Menyampaikan Ayat-ayat-Nya dan Mengesakan-Nya
Surah 28: Al-Qasas (85 – 88)
Ayat 85
إِنَّ ٱلَّذِى فَرَضَ عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لَرَآدُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ مَن جَآءَ بِٱلْهُدَىٰ وَمَنْ هُوَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Sesungguhnya (Allah) yang mewajibkan engkau (Muhammad) untuk (melaksanakan hukum-hukum) Al-Quran, benar-benar akan mengembalikanmu ke tempat kembali. Katakanlah (Muhammad), “Rabbku mengetahui orang yang membawa petunjuk dan orang yang berada dalam kesesatan yang nyata.”
Allah as memerintahkan Nabi Muhammad saw menyampaikan risalah-Nya dan membacakan wahyu Al-Quran kepada seluruh manusia. Seterusnya, Dia menyatakan bahawa baginda saw akan dikembalikan kepada-Nya pada Hari Kiamat nanti dan akan ditanyakan tentang tugas kenabian yang baginda lakukan serta akan dipertanggungjawabkan. Ini sebagaimana firman-firman-Nya:
“(Ingatlah), hari ketika Allah mengumpulkan para Rasul lalu Allah bertanya (kepada mereka), Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?” Para Rasul menjawab, “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu), sesungguhnya Engkau-lah yang mengetahui perkara yang ghaib.”
Al-Ma’idah 5:109
“Maka sesungguhnya Kami akan menanyai umat-umat yang telah diutus Rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyai (pula) Rasul-rasul (Kami).”
Al-A’raf 7:6
Ada ulama menyatakan maksud ayat “benar-benar akan mengembalikanmu ke tempat kembali” ialah Allah Ta’ala akan mengembalikan Nabi Muhammad saw semula ke negeri yang baginda cintai iaitu Kota Mekah setelah baginda keluar dari kota tersebut untuk berhijrah.
Inilah janji Allah as bahawa Nabi Muhammad saw akan kembali ke Mekah sebagai orang yang menang. Ia merupakan kemenangan yang besar kerana dapat menguasai benteng kekufuran dan penyembahan berhala, penghancuran berhala-berhala yang diletakkan di sekitar Kaabah yang mulia. Hal ini sudah pun terjadi pada tahun ke lapan Hijrah, iaitu ketika baginda menakluki Mekah yang merupakan satu mukjizat kepada baginda saw.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw mengatakan kepada orang-orang yang menentang dan mendustakan baginda, daripada kalangan kaum musyrik dan orang-orang yang mengikuti kekafiran mereka, bahawasanya Allah Ta’ala lebih mengetahui siapakah yang berhak mendapat petunjuk di antara mereka. Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan mendapat kesudahan yang baik dan yang akan mendapat akibat yang terpuji dan pertolongan di dunia dan di akhirat.
Ayat 86
وَمَا كُنتَ تَرْجُوٓا۟ أَن يُلْقَىٰٓ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبُ إِلَّا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ ظَهِيرًا لِّلْكَـٰفِرِينَ
Dan engkau (Muhammad) tidak pernah mengharap agar kitab (Al-Quran) itu diturunkan kepadamu, tetapi ia (diturunkan) sebagai rahmat daripada Rabbmu, oleh itu janganlah sekali-kali engkau menjadi penolong bagi orang-orang kafir.
Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw tentang betapa besar kurniaan-Nya kepada baginda dan kepada umat baginda berupa diutus-Nya baginda kepada mereka.
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa dahulu baginda tidak pernah menyangka bahawa wahyu akan diturunkan kepadanya, namun sesungguhnya wahyu itu diturunkan semata-mata kerana rahmat-Nya yang begitu besar kepada baginda dan juga kepada umat manusia.
Oleh itu apabila Allah Ta’ala telah menganugerahkan nikmat yang besar ini kepada Rasulullah saw, baginda diperintahkan dengan beberapa perkara iaitu:
▪️ Tidak menjadi penolong kepada orang-orang kafir tetapi hendaklah mengingkari dan menentang serta menjauhkan diri daripada mereka.
Ayat 87
وَلَا يَصُدُّنَّكَ عَنْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ ۖ وَٱدْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ ۖ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalang engkau (Muhammad) untuk (menyampaikan) ayat-ayat Allah, setelah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu, dan serulah (manusia) ke (jalan) Rabbmu, dan janganlah sekali-kali engkau termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah.
▪️ Tidak sekali-sekali terpengaruh dengan tindakan orang-orang kafir yang sentiasa menghalang baginda daripada membacakan dan menyampaikan Al-Quran kepada mereka.
Oleh itu, baginda diperintahkan agar menyeru manusia kepada keimanan untuk mentauhidkan Allah Ta’ala serta menjalankan syariat-Nya.
Tugas baginda as hanyalah menyampaikan dan sesungguhnya Allah-lah yang akan meninggikan kalimah-Nya dan memenangkan risalah agama yang dibawa oleh baginda ke atas seluruh agama-agama batil.
▪️ Tidak menjadi sebahagian daripada orang-orang musyrik yang menyembah selain Allah Ta’ala di samping menyembah-Nya.
Allah Ta’ala berfirman dalam ayat yang lain:
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah (dengan keyakinan) yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik (mensyirikkan Allah).’”
Yusuf 12:108
Ayat 88
وَلَا تَدْعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ ۘ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ كُلُّ شَىْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُۥ ۚ لَهُ ٱلْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan jangan (pula) engkau sembah Ilah yang lain selain Allah. Tidak ada Ilah (yang berhak disembah dengan benar) melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali wajah-Nya (Allah). Bagi-Nya segala penentuan dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.
▪️ Mengajak manusia agar beribadah kepada Allah Ta’ala semata.
Allah Ta’ala menyebutkan sifat-sifat-Nya iaitu Dia-lah Allah Yang Maha Berkuasa, abadi, hidup dan Maha berdiri sendiri. Dia-lah yang mematikan makhluk dan Dia tidak pernah mati. Pada Hari Kiamat nanti, semua manusia akan kembali kepada Rabb mereka dan Allah akan memberi keputusan dan balasan terhadap amal perbuatan yang mereka lakukan. Oleh itu, hanya Dia yang layak diibadahi.
Allah Ta’ala berfirman dalam ayat yang lain:
“Semua yang ada di bumi itu akan binasa, tetapi wajah Rabbmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal.”
Ar-Rahman 55:26-27
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sebenar-benar ucapan yang diungkapkan oleh seorang penyair adalah ucapan Labid, ‘Ingatlah, segala sesuatu selain Allah itu adalah batil.’”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)