Siang dan Malam Merupakan Nikmat daripada Allah Ta’ala
Surah 28: Al-Qasas (71 – 73)
Ayat 71
قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكُمُ ٱلَّيْلَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ مَنْ إِلَـٰهٌ غَيْرُ ٱللَّهِ يَأْتِيكُم بِضِيَآءٍ ۖ أَفَلَا تَسْمَعُونَ
Katakanlah (Muhammad), “Terangkan kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai Hari Kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?”
Allah Ta’ala menyebutkan nikmat yang diadakan-Nya iaitu pergantian siang dan malam yang silih berganti kepada manusia, maka manusia memperoleh banyak manfaat daripada hal tersebut dalam kehidupan di dunia ini. Sekiranya tidak ada siang dan Dia menjadikan malam terus menerus nescaya memudharatkan manusia.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw bertanyakan kepada orang-orang yang menyekutukan-Nya, bagaimanakah keadaan mereka andaikata Dia menjadikan waktu malam sahaja tanpa siang sehingga Hari Kiamat.
Maka pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menanyakan mereka siapakah yang mampu mendatangkan cahaya siang dengan menghilangkan malam.
Pertanyaan ini merupakan cemuhan dan diikuti dengan sindiran iaitu adakah mereka masih tidak mahu mendengar pengajaran yang diberikan kepada mereka dan memerhatikan dengan pemahaman yang mereka saksikan tentang tanda-tanda kebesaran-Nya selama ini.
Ayat 72
قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكُمُ ٱلنَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ مَنْ إِلَـٰهٌ غَيْرُ ٱللَّهِ يَأْتِيكُم بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
Katakanlah (Muhammad), “Terangkan kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai Hari Kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirahat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikannya?”
Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan keadaan sebaliknya iaitu jika Dia menjadikan waktu siang terus menerus tanpa menggantikannya dengan malam sehingga Hari Kiamat, siapakah Tuhan selain Allah Ta’ala yang mampu mengadakan malam untuk istirahat selepas kepenatan dengan pelbagai aktiviti pada siang harinya.
Adakah mereka masih tidak melihat fenomena ini dengan mata hati yang menunjukkan kebenaran kekuasaan-Nya yang sempurna sehingga mereka mengetahui yang berhak untuk diibadahi hanyalah Allah Ta’ala yang memberikan semua nikmat-nikmat tersebut.
Ayat 73
وَمِن رَّحْمَتِهِۦ جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirahat pada malam hari dan supaya kamu mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.
Maka dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan antara rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia mengadakan pergantian malam dan siang. Dia menjadikan malam yang gelap yang mendatangkan ketenangan sesuai bagi hamba-hamba-Nya beristirahat selepas keletihan beraktiviti pada siang hari.
Manakala Allah Ta’ala menjadikan siang yang terang benderang pula, memudahkan manusia melakukan pelbagai aktiviti dan mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan mereka. Semuanya ini adalah kerana sifat rahmat-Nya dan agar manusia bersyukur kepada-Nya atas nikmat-nikmat tersebut.
Firman-firman Allah Ta’ala yang lain:
“Dia-lah yang menjadikan malam bagimu agar kamu beristirahat padanya dan (menjadikan) siang terang benderang (agar kamu dapat mencari kurniaan Allah). Sungguh, yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mendengar.”
Yunus 10:67
“Dan Dia (juga) yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pengajaran atau yang ingin bersyukur.”
Al-Furqan 25:62
“Apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa Kami telah menjadikan malam agar mereka beristirahat padanya dan (menjadikan) siang yang menerangi? Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.”
An-Naml 27:86