Surah 28: Al-Qasas (68 – 70)

Hanya Allah Swt yang Berhak Menetapkan Segala Sesuatu

Surah 28: Al-Qasas (68 – 70)


Ayat 68

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ وَيَخْتَارُ ۗ مَا كَانَ لَهُمُ ٱلْخِيَرَةُ ۚ سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dan Rabbmu menciptakan dan memilih apa yang Dia kehendaki, sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka (manusia). Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia daripada apa yang mereka persekutukan (dengan-Nya).

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia-lah yang Maha Pencipta dan Maha Menentukan. Bila Dia telah menentukan sesuatu, maka manusia tidak dapat memilih yang lain dan mereka wajib mentaati serta menerima apa yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Pilihan dan keputusan Allah Ta’ala adalah berdasarkan ilmu yang menyeluruh lagi mutlak dan mempunyai keistimewaan-keistimewaan ketuhanan. Dia lebih mengetahui hikmah-hikmah dan penuh keadilan. Dia-lah Yang Maha Esa dan hanya Dia tempat bergantung seluruh makhluk.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (juga) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.”

Al-Ahzab 33:36

Ayat 69

وَرَبُّكَ يَعْلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمْ وَمَا يُعْلِنُونَ

Dan Rabbmu mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mengetahui apa yang terlintas di dalam hati, sebagaimana Dia mengetahui apa yang dizahirkan oleh seluruh makhluk-Nya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“(Allah) yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi. Sama sahaja (bagi Allah), sesiapa di antara kamu yang merahsiakan ucapannya dan sesiapa yang berterus terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi pada malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) pada siang hari.”

Ar-Ra’d 13:9-10

Ayat 70

وَهُوَ ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلْأُولَىٰ وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَلَهُ ٱلْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Dan Dia-lah Allah, tidak ada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagi-Nya-lah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nya-lah segala penentuan dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.

Sesungguhnya Dia-lah Allah yang Maha Esa dalam sifat-sifat Uluhiyyah-Nya, maka tidak ada yang berhak diibadahi selain Dia, sebagaimana tidak ada Ilah yang mencipta dan memilih apa yang dikehendaki-Nya selain Dia.

Bagi-Allah-lah segala pujian di dunia dan di akhirat terhadap apa yang dikerjakan-Nya, Dia Maha Terpuji dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya. Bagi-Nya-lah segala penentuan kerana tidak ada yang dapat mengalahkan-Nya disebabkan keperkasaan, kemenangan, kebijaksanaan dan rahmat-Nya.

Seluruh manusia akan dikembalikan kepada-Nya pada Hari Kiamat, lalu akan dibalas sesuai amalan masing-masing, sama ada baik atau buruk dan tidak ada satu pun yang tersembunyi bagi Allah Ta’ala daripada seluruh amalan mereka.