Surah 28: Al-Qasas (62 – 67)

Orang Musyrik Akan Saling Berlepas Diri daripada Tanggungjawab pada Hari Akhirat

Surah 28: Al-Qasas (62 – 67)


Ayat 62

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

Dan (ingatlah) hari ketika Dia (Allah) menyeru mereka, seraya berkata, “Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang dahulu kamu katakan?”

Allah Ta’ala menceritakan tentang tiga perkara yang merupakan satu penghinaan kepada orang-orang kafir musyrik pada Hari Pembalasan nanti, iaitu:

Pertama

▪️   Pertanyaan tentang sembahan-sembahan yang dijadikan sekutu Allah Ta’ala.

Ketika Allah Ta’ala memanggil orang-orang musyrik pada Hari Akhirat, Dia bertanyakan di mana sembahan-sembahan yang mereka sembah dan dijadikan sekutu-Nya ketika di dunia dahulu dan apakah semuanya itu boleh memberi manfaat kepada mereka.

Ayat ini diungkapkan dengan maksud mencemuh sekali gus memberi ancaman kepada orang-orang yang menyekutukan-Nya.

Ayat 63

قَالَ ٱلَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلْقَوْلُ رَبَّنَا هَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَغْوَيْنَآ أَغْوَيْنَـٰهُمْ كَمَا غَوَيْنَا ۖ تَبَرَّأْنَآ إِلَيْكَ ۖ مَا كَانُوٓا۟ إِيَّانَا يَعْبُدُونَ

Berkatalah orang-orang yang telah pasti akan mendapat hukuman, “Wahai Rabb kami, mereka inilah orang-orang yang kami sesatkan itu. Kami telah menyesatkan mereka sebagaimana kami (sendiri) sesat. Kami menyatakan berlepas diri (dari mereka) kepada Engkau, mereka sekali-kali tidak menyembah kami.”

Dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa maksud, “Orang-orang yang sudah pasti akan mendapat hukuman,” ialah para syaitan, orang-orang yang derhaka dan orang-orang yang menyeru kepada kekufuran.

Para syaitan, orang-orang yang derhaka dan orang-orang yang menyeru kepada kekufuran tersebut menjadi saksi bagi orang-orang yang disesatkan dengan berkata bahawa ketika di dunia dahulu mereka memang menyesatkan manusia dan mereka diikuti. Lalu mereka mengatakan bahawa mereka berlepas diri daripada tanggungjawab atas kesesatan pengikut-pengikut mereka yang menyembah selain Allah.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka, sekali-kali tidak. Kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka.”

Maryam 19:81-82

Ayat 64

وَقِيلَ ٱدْعُوا۟ شُرَكَآءَكُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَهُمْ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ ۚ لَوْ أَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَهْتَدُونَ

Dan dikatakan (kepada mereka), “Serulah olehmu sekutu-sekutu kamu,” lalu mereka menyerunya. Maka sekutu-sekutu itu tidak menyahut (seruan) mereka, dan mereka melihat azab. (Mereka ketika itu berkeinginan) sekiranya mereka dahulu menerima petunjuk.

Kedua

▪️   Pertanyaan berkaitan dengan jawapan sembahan-sembahan mereka untuk menolak azab.

Kemudian orang-orang yang menyekutukan Allah itu disuruh memanggil sembahan-sembahan mereka agar dapat menyelamatkan diri daripada azab yang mereka hadapi, sebagaimana mereka menaruh harapan kepada sembahan-sembahan mereka sewaktu hidup di dunia dahulu.

Namun setelah seruan mereka tidak disambut baru mereka percaya dan yakin bahawa mereka benar-benar dalam kebinasaan menuju ke neraka.

Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Dia berfirman, “Panggillah olehmu sekutu-sekutu-Ku yang kamu sangka itu.” Lalu mereka memanggilnya, tetapi mereka (sekutu-sekutu) tidak membalas (seruan) mereka dan Kami adakan untuk mereka tempat kebinasaan (neraka). Dan orang yang berdosa melihat neraka, lalu mereka menyangka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya, dan mereka tidak menemukan tempat keluar darinya.”

Al-Kahf 18:52-53

Ayat 65

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ مَاذَآ أَجَبْتُمُ ٱلْمُرْسَلِينَ

Dan (ingatlah) hari ketika Dia (Allah) menyeru mereka, seraya berkata, “Apakah jawapanmu kepada para Rasul?”

Ketiga

▪️   Pertanyaan berkaitan dengan anggapan mereka terhadap para Rasul.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah Ta’ala menyeru manusia dan menanyakan tentang mentauhidkan-Nya. Manakala dalam ayat ini pula Dia bertanya tentang kenabian.

Ini bermaksud pada Hari Akhirat nanti manusia bukan sahaja ditanya mengapa mereka menyekutukan-Nya tetapi mereka juga ditanya tentang apa jawapan mereka terhadap Rasul-rasul yang diutuskan-Nya kepada mereka dan tentang tauhid yang diserukan oleh para Rasul.

Ayat 66

فَعَمِيَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْأَنۢبَآءُ يَوْمَئِذٍ فَهُمْ لَا يَتَسَآءَلُونَ

Maka gelaplah bagi mereka pelbagai jenis alasan pada hari itu, kerana itu mereka tidak saling bertanya.

Mereka tidak dapat menjawab kerana tidak dapat mencari alasan untuk dikemukakan bagi mempertahankan diri. Oleh itu, mereka terdiam dan sesama mereka pun tidak dapat tegur menegur untuk saling bertanya kerana kebingungan dan ketakutan yang mereka alami ketika itu.

Ayat 67

فَأَمَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَعَسَىٰٓ أَن يَكُونَ مِنَ ٱلْمُفْلِحِينَ

Maka adapun orang yang bertaubat dan beriman, serta melakukan kebaikan maka mudah-mudahan dia termasuk di kalangan orang-orang yang beruntung.

Setelah Allah Ta’ala menjelaskan gambaran yang berlaku terhadap orang-orang musyrik dan penghinaan terhadap mereka, dalam ayat ini pula Dia menyebutkan keadaan orang-orang yang bertaubat untuk memberi semangat dan motivasi kepada mereka agar bertaubat dan membebaskan diri daripada kekufuran.

Orang-orang yang bertaubat daripada kemusyrikan, membenarkan Allah Ta’ala dan mengesakan-Nya, memurnikan ibadah hanya untuk-Nya, mengimani Nabi-Nya dan melakukan amal-amal soleh maka mereka akan selamat, mendapat kemenangan dengan redha-Nya dan nikmat-nikmat-Nya di syurga pada Hari Akhirat kelak. Inilah keuntungan dan kemenangan yang patut dicari oleh manusia.