Surah 28: Al-Qasas (52 – 55)

Ada di Kalangan Ahli Kitab yang Beriman kepada Al-Quran

Surah 28: Al-Qasas (52 – 55)


Ayat 52

ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِهِۦ هُم بِهِۦ يُؤْمِنُونَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka kitab sebelum Al-Quran, mereka beriman (pula) dengannya (Al-Quran).

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Qatadah, dia berkata, kami bercerita bahawa ayat ini turun berkaitan dengan ahli kitab. Mereka berada dalam kebenaran sehingga Allah Ta’ala mengutuskan Nabi Muhammad saw, lalu mereka mengimaninya. Antara mereka adalah Salman Al-Farisi dan Abdullah bin Salam.

Manakala Sa’id bin Jubair mengatakan ayat ini turun berkaitan dengan tujuh puluh orang pendeta Nasrani yang diutus oleh Raja Najasy. Ketika mereka menghadap Nabi Muhammad saw baginda membacakan kepada mereka Surah Yasin hingga selesai. Mereka menangis, lalu masuk Islam. Maka turunlah ayat tentang mereka.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebahagian ahli kitab daripada kalangan Yahudi dan Nasrani beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw kerana ada hubungan dengan kitab-kitab mereka terdahulu iaitu kitab Taurat dan Injil dan membenarkan apa yang ada di dalamnya, contohnya tentang berita gembira dengan kedatangan baginda saw.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya di antara ahli kitab ada yang beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu, dan apa yang diturunkan kepada mereka kerana mereka merendah diri kepada Allah dan mereka tidak menjual beli ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit. Mereka memperoleh pahala di sisi Rabbnya. Sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

Ali ‘Imran 3:199

Ayat 53

وَإِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِهِۦٓ إِنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّنَآ إِنَّا كُنَّا مِن قَبْلِهِۦ مُسْلِمِينَ

Dan apabila dibacakan (Al-Quran itu) kepada mereka, mereka berkata, “Kami beriman kepadanya. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah suatu kebenaran daripada Rabb kami. Sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang muslim.”

Apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka membenarkan dan mengimaninya. Mereka meyakini bahawa Al-Quran itu merupakan kebenaran daripada Allah Ta’ala. Sesungguhnya sebelum turunnya Al-Quran mereka adalah orang yang berserah diri dan mengesakan Allah kerana agama Allah itu satu, iaitu Islam.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Katakanlah, ‘Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama sahaja bagi Allah).’ Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata, ‘Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya janji Rabb kami pasti dipenuhi.’”

Al-Isra’ 17:107-108

Ayat 54

أُو۟لَـٰٓئِكَ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُم مَّرَّتَيْنِ بِمَا صَبَرُوا۟ وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

Mereka itu diberi pahala dua kali ganda disebabkan kesabaran mereka, dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan sebahagian daripada apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan.

Oleh sebab mereka ini beriman dengan kitab yang pertama diturunkan kepada mereka sebelum ini dan kemudian beriman pula dengan Al-Quran yang diturunkan selepasnya, Allah Ta’ala mengatakan mereka ini mendapat pahala dua kali ganda sebagai balasan kerana kesabaran dan keteguhan mereka dalam mengikuti ajaran yang sebenar.

Daripada Abu Musa Al-asy’ari ra, Rasulullah saw bersabda:

“Tiga golongan yang diberikan pahala sebanyak dua kali: 1) seorang ahli kitab yang beriman kepada Nabinya kemudian beriman kepadaku, 2) hamba yang memenuhi hak Allah dan hak tuannya dan 3) seorang yang memiliki hamba perempuan, dia berlaku baik dalam mendidiknya, dimerdekakannya, kemudian dijadikan isteri.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Umamah, ketika berada di bawah tunggangan Rasulullah saw pada hari penaklukan Mekah, dia mendengar baginda bersabda:

“Sesiapa yang masuk Islam daripada kalangan ahli kitab, nescaya dia memperoleh pahala sebanyak dua kali. Apa yang dibolehkan untuk kita, dibolehkan pula untuknya, dan apa yang diwajibkan untuk kita, maka diwajibkan pula untuknya. Dan sesiapa yang masuk Islam daripada kalangan kafir musyrik, dia hanya memiliki pahala sebanyak satu kali. Dan apa yang dibolehkan untuk kita dibolehkan pula untuknya, dan apa yang diwajibkan untuk kita, diwajibkan pula untuknya.”

(HR. Ahmad)

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan mereka ini menolak kejahatan dengan kebaikan. Mereka tidak membalas keburukan dengan keburukan, malah mereka memaafkan dan mengampuninya.

Selain itu, mereka membelanjakan harta yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala sebagai nafkah kepada anak isteri yang merupakan tanggungjawab mereka, menunaikan zakat yang diwajibkan atau membantu pihak-pihak lain seperti anak-anak yatim dan orang-orang miskin yang memerlukan.

Ayat 55

وَإِذَا سَمِعُوا۟ ٱللَّغْوَ أَعْرَضُوا۟ عَنْهُ وَقَالُوا۟ لَنَآ أَعْمَـٰلُنَا وَلَكُمْ أَعْمَـٰلُكُمْ سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِى ٱلْجَـٰهِلِينَ

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata, “Bagi kami amalan-amalan kami dan bagimu amalan-amalan kamu. Semoga selamatlah dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil.”

Allah Ta’ala juga memuji sikap ahli kitab yang beriman dengan-Nya dan Al-Quran dengan mengatakan bahawa apabila mereka mendengar ucapan yang tidak elok atau sia-sia seperti celaan, umpatan dan pendustaan, mereka akan memalingkan diri sambil berkata, “Bagi kami amalan-amalan kami dan bagimu amalan-amalan kamu. Semoga selamatlah dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil. Kami tidak ingin menempuh jalan orang-orang yang jahil dan sama sekali tidak menyukai jalan seperti itu.”