Surah 28: Al-Qasas (44 – 47)

Allah Ta’ala Mengingatkan tentang Dalil Kenabian Nabi Muhammad saw

Surah 28: Al-Qasas (44 – 47)


Ayat 44

وَمَا كُنتَ بِجَانِبِ ٱلْغَرْبِىِّ إِذْ قَضَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَى ٱلْأَمْرَ وَمَا كُنتَ مِنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ

Dan tidaklah engkau (Muhammad) berada di sisi yang di sebelah barat ketika Kami menyampaikan perintah kepada Musa, dan engkau tidak (pula) termasuk orang-orang yang menyaksikan.

Ayat 45

وَلَـٰكِنَّآ أَنشَأْنَا قُرُونًا فَتَطَاوَلَ عَلَيْهِمُ ٱلْعُمُرُ ۚ وَمَا كُنتَ ثَاوِيًا فِىٓ أَهْلِ مَدْيَنَ تَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِنَا وَلَـٰكِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Tetapi Kami telah mengadakan beberapa generasi, dan telah berlalulah atas mereka masa yang panjang, dan tidaklah engkau (Muhammad) tinggal bersama-sama penduduk Madyan dengan membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka, tetapi Kami telah mengutus Rasul-rasul.

Ayat 46

وَمَا كُنتَ بِجَانِبِ ٱلطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَـٰكِن رَّحْمَةً مِّن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Dan engkau (Muhammad) tidak berada dekat (gunung) Thur ketika Kami menyeru (Musa), tetapi (kami beritahukan itu kepada engkau) sebagai rahmat daripada Rabbmu, supaya kamu memberi peringatan kepada kaum (Quraisy) yang sekali-kali belum datang kepada mereka pemberi peringatan sebelum engkau agar mereka ingat.

Pada rangkaian ayat-ayat di atas, Allah Ta’ala mengingatkan tentang bukti kenabian Nabi Muhammad saw. Dia memberitahu baginda tentang kejadian-kejadian ghaib masa dahulu seolah-seolah baginda menyaksikan sendiri secara langsung peristiwa-peristiwa tersebut.

Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:

“Itu adalah di antara berita-berita penting tentang perkara ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (juga) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah, sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Hud 11:49

“Itu adalah sebahagian berita-berita tentang negeri (yang telah dibinasakan) yang Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), di antara negeri-negeri itu ada yang masih terdapat bekas-bekasnya dan ada (juga) yang telah musnah.”

Hud 11:100

Ini merupakan sifat rahmat Allah kepada penduduk Mekah supaya mereka dapat beriman kerana dengan maklumat itu Nabi Muhammad saw akan memberi peringatan kepada kaum yang sebelum itu tidak mendapat peringatan daripada sesiapa pun kerana tidak diutuskan kepada mereka Nabi atau pun Rasul.

Ayat 47

وَلَوْلَآ أَن تُصِيبَهُم مُّصِيبَةٌۢ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَيَقُولُوا۟ رَبَّنَا لَوْلَآ أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولًا فَنَتَّبِعَ ءَايَـٰتِكَ وَنَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan agar mereka tidak mengatakan ketika azab menimpa mereka disebabkan apa yang mereka kerjakan, “Wahai Rabb Kami, mengapa Engkau tidak mengutus seorang Rasul kepada kami, lalu Kami mengikuti ayat-ayat Engkau dan jadilah kami termasuk orang-orang mukmin.”

Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan hikmah diutusnya Nabi Muhammad saw bahkan semua Rasul, sebagai penyampai syariat dan wahyu-Nya sehingga tiada lagi alasan bagi kaum yang kufur untuk mencari alasan ketika diazab akibat kekufuran mereka, dengan mengatakan tidak ada seorang Rasul pun diutus kepada mereka untuk memberi peringatan. Sesungguhnya Allah Ta’ala sekali-kali tidak akan menyeksa hamba-hamba-Nya kecuali setelah ditegakkan hujjah kepada mereka.

Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:

“(Kami turunkan Al-Quran itu) agar kamu (tidak) mengatakan, ‘Bahawa kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan sahaja sebelum kami, dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka baca.’ Atau agar kamu (tidak) mengatakan, ‘Sesungguhnya jikalau kitab ini diturunkan kepada kami, tentulah kami lebih mendapat petunjuk daripada mereka.’ Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Rabbmu, petunjuk dan rahmat. Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya?……..’”

Al-An’am 6:156-157

“Wahai ahli kitab, sesungguhnya Rasul Kami telah datang kepadamu, menjelaskan (syariat Kami) kepadamu ketika terputus (pengiriman) Rasul-rasul, agar kamu tidak mengatakan, ‘Tidak ada yang datang kepada kami baik seorang pembawa berita gembira mahupun seorang pemberi peringatan.’ Sesungguhnya, telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Al-Ma’idah 5:19